Huawei Mengumumkan Harmony OS – Ditawarkan Secara Sumber Terbuka

Huawei Mengumumkan Harmony OS – Ditawarkan Secara Sumber Terbuka

Diterbitkan pada Ogos 9, 2019 oleh .

Huawei hari ini telah mengadakan acara Huawei Developer Conference 2019, dimana melaluinya mereka berkongsi sejumlah perkara memfokuskan pembangun. Menjadi fokus pada acara ini adalah sistem operasi terbaru daripada Huawei, iaitu Harmony OS.

Seperti ramai sedia maklum, ia sedia dikenali dengan nama Hongmeng sebelum ini, dan untuk peringkat antarabangsa, ia membawakan nama Harmony OS.

Huawei Harmony OS

Huawei mengatakan Harmony OS adalah sistem operasi pertama berasaskan kepada kernel-mikro, dan ia merupakan sistem operasi pertama yang boleh menawarkan pengalaman selari pada pelbagai variasi peranti.

Huawei turut mengatakan yang mana sistem operasi ini dioptimasikan untuk berjalan lebih lancar dan pantas berbanding sistem operasi lain di pasaran hari ini. Pada pentas pengumuman berkenaan, Huawei turut memperlihatkan yang mana HarmonyOS menawarkan prestasi lebih lancar berbanding dengan sistem Fuchsia yang bakal hadir daripada Google.

Harmony OS

Harmony OS juga turut akan membolehkan pengguna membangunkan aplikasi dengan mudah untuknya – sekaligus mengoptimasikan aplikasi anda untuk pelbagai saiz peranti dengan mudah. Untuk tujuan berkenaan sendiri, Huawei menyediakan perisian IDE khusus untuknya.

Harmony OS

Honor akan menjadi pengeluar pertama berasaskan Harmony OS ini secara rasminya esok – dimana kita mungkin akan mendengar lanjut berkaitan dengannya secara rasmi. Sistem operasi Harmony OS akan ditawarkan dalam bentuk sumber terbuka, sekaligus membuka ia untuk dibuka oleh semua pihak seluruh dunia.


TIPS & ULASAN