FaceID Boleh Dipintas Dengan Sepasang Cermin Mata Yang Diubahsuai

FaceID Boleh Dipintas Dengan Sepasang Cermin Mata Yang Diubahsuai

Diterbitkan pada Ogos 9, 2019 oleh .

FaceID adalah sistem sekuriti Apple yang menggunakan pelbagai sensor pada iPhone X, iPhone XR, iPhone XS atau iPhone XS Max untuk menyahkunci peranti atau membuat pembayaran. Sistem ini dikatakan adalah antara yang selamat dan jitu kerana menggunakan teknik imbasan 3D dan juga kedalaman. Tetapi, sistem ini tetap berjaya dipintas dengan topeng atau wajah anak yang seiras dengan ibu. Walaupun Apple telah menambah sokongan Attention Aware, ia tetap boleh dipintas.

Di sini terbuktinya yang FaceID bukanlah sistem sekuriti yang paling selamat. Di acara Black Hat 2019, pasukan penyelidik sekuriti daripada Tencent berjaya menemui jalan untuk memintas FaceID – walaupun pengguna sedang tidur. Ia menggunakan teknik yang sangat mudah dan ringkas. Hanya dengan sepasang kaca mata, pita pelekat berwarna hitam dan pita pelekat warna putih – FaceID boleh dipintas begitu sahaja.

Bagaimana ia boleh dipintas? FaceID mempunyai satu sistem pengesahan biometrik yang bernama liveness. Ia boleh menentukan wajah seseorang itu asli atau tidak, dengan mengimbas kawasan berwarna hitam pada mata dan titik putih pada anak mata. Pengesahan ini turut mengesan hingar di latar belakang dan herotan pantulan cahaya.

Tetapi, apabila pengguna memakai cermin mata – cara ia membuat pengesahan adalah berbeza. Ia adalah lebih kurang tepat, ini mungkin kerana pantulan cahaya pada cermin mata itu sendiri. Jadi, dengan menggunakan sepasang cermin mata dengan sekerat pita pelekat warna hitam ditampal pada tengah ditambah dengan pita pelekat putih lebih kecil atas pelekat hitam – ia akan mimik mata manusia. Jadi sensor akan terus mengimbas dan membuat pengesahan.

Walau bagaimanapun, cermin mata ini perlu dipakaikan kepada pengguna iPhone tersebut bagi untuk diakses. Ia hanya memintas kemampuan menyahkunci peranti dalam keadaan tutup mata – ia akan menyangka mata pengguna adalah terbuka.


TIPS & ULASAN