5 Kekurangan Pada Samsung Galaxy Note 10

5 Kekurangan Pada Samsung Galaxy Note 10

Diterbitkan pada Ogos 13, 2019 oleh .

Artikel 10 Perkara Menarik Pada Samsung Galaxy Note 10 dan Note 10+ telah kami terbitkan semalam. Tetapi adalah tidak tulus jika kami katakan phablet terkini Samsung ini tidak mempunyai beberapa kekurangan jika dibandingkan dengan Note 10 atau peranti-peranti lain yang sudahpun dijual di pasaran. Oleh itu kami senaraikan terbitkan pula lima kekurangan yang ada pada Note 10 dan Note 10+.

1. Tiada Lagi Bicu Audio

Ini ialah kekurangan paling ketara yang mendapat reaksi paling negatif di kalangan pembaca Amanz setakat ini. Kesemua output audio pada Note 10 dan Note 10+ adalah menerusi port USB-C. Menurut Samsung ini dilakukan kerana tiada lagi ruang untuknya pada kedua-dua peranti. Bateri yang lebih besar digunakan pada kedua-dua peranti dan jika bicu audio dikekalkan, peranti anda menjadi lebih tebal berbanding Note 9.

Samsung menyertakan sepasang fon telinga USB-C dengan setiap pembelian tetapi penyesuai USB-C ke bicu audio dijual berasingan. Harga jualannya di luar negara ialah $10 (RM 42) dengan harga jualan di Malaysia masih belum diumumkan. Ini adalah langkah yang sedikit mengecewakan kerana sebelum ini Samsung pernah menghasilkan iklan yang mentertawakan Apple kerana membuang bicu audio pada iPhone.

2. Zum Optikal Masih Hanya Sekadar 2X

Huawei P30 Pro dan Oppo Reno 10X Zoom kedua-duanya mempunyai kemampuan zum optikal sehingga 5X dan digital sehingga 60X. Dengan kewujudan kedua-dua peranti ini, adalah agak membingungkan Note 10 dan Note 10+ masih lagi sekadar menyokong zum sehingga 2X sahaja. Ini menjadikannya kurang kompetitif di dalam pasaran di mana kemampuan kamera kini adalah antara kriteria paling penting sebelum melakukan pembelian.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, takhta peranti dengan kamera terbaik pada peranti mudah telah berpindah tangan dari Samsung ke Huawei. Samsung kini terpaksa mengejar Huawei dari belakang dalam pengenalan inovasi baharu pada kamera telefon pintar. Fungsi paling mendapat perhatian sekarang pastinya ialah zum optikal yang dipertingkatkan berbanding generasi terdahulu.

Bagi peminat Samsung anda tidak perlu risau kerana mereka telah mengambil alih firma Corephotonics yang membangunkan kamera nirhilang untuk Oppo. Kebarangkalian sistem zum 5X digunakan pada peranti Samsung pada tahun 2020 adalah amat tinggi.

3. Pengecas 45W Dijual Berasingan

Kedua-dua Note 10 dan Note 10+ menyokong pengecasan pantas 25W menerusi pengecas yang disertakan. Note 10+ walau bagaimanapun turut menyokong pengecasan Super Fast Charging 45W. Pengecas ini harus dibeli secara berasingan dengan harga jualan dikhabarkan sekitar 50 Euros (~RM 235) sebuah. Tindakan Samsung menjual pengecas paling pantas ini secara berasingan adalah mengecewakan kerana mengikut langkah Apple yang menjual pengecas 18W juga secara mengecewakan dengan harga yang tinggi.

Huawei, Oppo dan OnePlus harus diberikan pujian kerana pengecas paling pantas mereka disertakan dengan setiap pembelian peranti mercu P30 Pro, Reno 10X Zoom dan 7 Pro. Note 10+ dijual pada harga mencecah RM4799 sebuah di Malaysia. Pada harga jualan yang tinggi ini kami merasakan pengecas pantas seharusnya diberikan dengan setiap pembelian.

4. Kedudukan Butang Kuasa Diubah Ke Kiri

Pada Note 10 dan Note 10+ butang kuasa serta suara diletakkan pada sisi kiri. Butang kuasa terletak pada kedudukan yang sama seperti butang Bixby pada Note 9 dan S10. Semasa melakukan pandang pertama, perubahan kedudukan butang kuasa ini menimbulkan kekeliruan kepada kami yang sudah terbiasa dengan ia terletak pada sisi kanan. Sebagai pengguna Note yang tegar sejak generasi pertama lagi, perubahan ini menyebabkan kami perlu mempelajari semula cara menggunakan peranti.

Tambahan lagi butang kuasa ini juga mempunyai fungsi sekunder sebagai butang Bixby. Seperti yang kami katakan pada ulasan Huawei P30 Pro, penggunaan satu butang untuk dua fungsi berbeza adalah amat kurang kami gemari. Kami kurang menyukainya pada P30 Pro dan iPhone XS Max oleh itu kami yakin akan turut tidak menyukainya pada Note 10.

5. Kehilangan Identiti Pada Rekaan

Di awal penghasilan peranti, Samsung telah dituduh mengambil rekaan iPhone. Samsung telah berjaya disaman oleh Apple sehingga perlu membayar ganti rugi bernilai $539 juta. Selepas insiden ini Samsung mula memperkenalkan rekaan mereka sendiri yang unik yang kemudiannya diikuti pula oleh pengeluar lain. Antara syarikat yang mengambil inspirasi rekaan dari Samsung ialah Huawei dengan Mate 20 dan P30 Pro kelihatan seperti Galaxy S9 dari bahagian hadapan kerana penggunaan skrin sisi melengkung.

Tetapi pada Note 10 dan Note 10+, Samsung mengubah susunan kamera melintang ke menegak menyerupai rekaan kamera P3o Pro. Sementara itu rekaan tubuh pula menyerupai rekaan Loop Surface peranti Sony Xperia. Hasilnya ialah Note 10 ialah peranti chimera yang tidak lagi mempunyai identitinya yang tersendiri.


Ini ialah senarai pendek kelemahan yang wujud pada Galaxy Note 10 dan Note 10+. Apa pula pada pendapat anda kelemahan peranti mercu ini jika dibandingkan dengan peranti-peranti mercu lain di pasaran Malaysia? Seperti artikel lain di Amanz, kongsi pendapat anda di ruangan komen di bawah.

Baca – Pandang Pertama Samsung Galaxy Note 10+ Dan Note 10 – Adakah Masih Relevan Di Pasaran?


TIPS & ULASAN