Cari @ Amanz

Tekanan Darah Kini Boleh Diambil Dengan Hanya Menggunakan Video Swafoto

Link Copied!

Kesihatan fizikal ialah satu bahagian yang kami kurang peduli kerana kesibukan di tempat kerja. Bagi mereka yang mementingkannya, penjejak kesihatan dan jam tangan pintar dibeli bagi membolehkan data tekanan darah, kandungan oksigen dan pola tidur direkodkan untuk kegunaan peribadi. Hanya segelintir telefon pintar seperti S10+ mempunyai pengimbas nadi terbina yang memerlukan sensor khas pada bahagian belakang.

Mengesan tekanan darah mungkin akan dapat dilakukan pada kesemua telefon pintar di masa hadapan dengan hanya mengambil video swafoto. Kajian terkini dari University of Toronto dapat mengesan tekanan darah dengan ketepatan 95% dengan hanya menganalisa video swafoto selama 30 saat. Bacaan sistolik, diastolik dan tekanan nadi dapat dianalisa oleh algoritma yang dibangunkan oleh penyelidik.

Sungguhpun begitu sistem ini masih belum bersedia untuk digunakan secara meluas kerana algoritma dilatih menggunakan data individu yang sihat. Oleh itu ia tidak boleh digunakan untuk membaca tekanan darah pengguna yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi misalnya. Ia juga hanya boleh membaca tekanan darah individu yang berkulit cerah sahaja pada waktu ini.

Anura, sebuah aplikasi telefon pintar telah dibangunkan bagi membolehkan teknologi terkini ini digunakan pada kesemua jenis peranti tanpa memerlukan sensor tambahan. Aplikasi akan diuji di China terlebih dahulu dengan pelancaran pada penghujung 2019.


Komen ()