Untuk banyak peranti mercu yang popular, DBRAND atau Slickwraps adalah antara jenama pelekat vinil yang popular. Pelekat ini hadir dengan potongan saiz peranti yang jitu dan menawarkan pelbagai jenis rekaan dengan tekstur 3D seakan bahan yang sebenar. Kini, jenama yang terkenal dengan kerangka pelindung tahan lasak – Rhinoshield, hadir dengan pelekat yang lebih kurang sama.
Pelekat ini adalah Impact Skin. Berbeza dengan jenama lain, Rhinoshield Impact Skin hanya menawarkan rekaan yang terhad. Tetapi kelebihan pelekat ini adalah ianya tahan lasak dan tahan hentakan. Secara tidak langsung padan dengan kerangka yang mereka jual. Rhinoshield menggunakan teknologi tahan lasak yang sama pada kerangka mereka untuk Impact Skin.
Selain itu, pelekat ini turut mesra dengan kerangka jenis bumper dari Rhinoshield. Kebiasaannya, pelekat vinil tidak pada dengan mana-mana kerangka tahan lasak – tetapi Rhinoshield menjadikannya tidak mustahil.
Matte Black, Black Titanium, Carbon Fiber, Concrete dan White Marble adalah lima pilihan rekaan yang mereka tawarkan. Harga jualan rasmi adalah $19.99 (~RM83.50). Tetapi untuk promosi pelancaran, ia dijual pada harga hanya $14.99, iaitu sekitar RM63 sahaja.