Carian
Inisiatif Carousell Dalam Menjadikan Platform Aplikasi Sebagai Sumber Inspirasi Kepada Pengguna
August 19, 2019 Liyana

Tumpuan Carousell pada pasaran Malaysia adalah untuk memberi inspirasi kepada pengguna melalui ciri platform yang tersedia. Berikutan pemerhatian yang dilakukan ke atas pasaran Malaysia, ia menunjukkan peningkatan pengguna tempatan dalam kebergantungan pada peranti digital dari semasa ke semasa. Di samping itu, Carousell turut dilihat ingin mempertingkatkan kawalan sekuriti pada platform.

Menerusi perbincangan meja bulat bersama Quek Siu RiKetua Pegawai Eksekutif Carousell – beliau menyifatkan fokus operasi Carousell pada Malaysia buat masa ini adalah untuk memperkukuhkan ikatan antara komuniti. Jelasnya, pengguna Malaysia antara negara yang memberi sumbangan tinggi kepada pertumbuhan ekosistem Carousell. Antara kategori yang menjadi pilihan pengguna pada platform Carousell ini adalah barangan elektronik serta kecantikkan. Apa yang lebih menarik, Siu Ri melihat komuniti Carousell Malaysia bijak menggunakan strategi dalam memasarkan barangan mereka dengan menggunakan kaedah kempen kesedaran. Antaranya meliputi tanda pagar (hashtag) berkenaan isu semasa mahupun musim perayaan.

Rentetan pemerhatian tersebut, pihak Carousell masih menjalankan tinjauan dan mula meneliti konsep kempen kesedaran yang bersesuaian untuk kekal berhubung bersama komuniti Carousell dengan tanda pagar #MYLocalWira. Ini adalah inisiatif dari pihak Carousell bersempena hari kebangsaan negara tidak lama lagi. Kempen ini melibatkan usahasama Carousell dengan rakan artis untuk mengumpul dana amal kepada pengguna. Ia bertujuan untuk memberi inspirasi kepada pengguna bagi merealisasikan impian mereka dengan platform Carousell.

Selain itu, Siu Ri turut menyentuh berkenaan isu sekuriti pada platform. Meskipun peratusan permasalahan sekuriti pada platform Carousell adalah sangat rendah, Siu Ri memandang serius akan aspek ini. Jelasnya, pihak Carousell pada ketika ini telah melaksanakan pelaburan pada sistem kecerdasan buatan mereka tersendiri. Perihal ini bagi membendung atau mengesan sebarang penipuan mahupun ancaman sekuriti yang terdapat pada platform. Selain itu, ketersediaan sistem kedudukan pada aplikasi juga membenarkan pengguna untuk membuat tindakan terhadap sebarang aktiviti yang mencurigakan. Jelas Siu Ri lagi, sistem sekuriti pada aplikasi Carousell akan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa.

Carousell juga turut berkongsikan sasaran mereka adalah untuk mendapatkan peluang pada ruang pengiklanan udara di Asia Tenggara, seterusnya menjadikan operasi lebih produktif untuk mencapai status unicorn di masa hadapan, Melihat pada aliran pasaran Malaysia ini, Siu Ri menyatakan terdapat pelbagai potensi yang besar untuk pihak Carousell pertingkatkan di masa akan datang. Menyentuh persoalan tersebut, Siu Ri turut menjangkakan penggunaan CarouPay berkemungkinan besar akan digunakan di Malaysia pada awal tahun hadapan.

Komen