Pelajar TARUC Hadir Dengan Siri Video Celik Digital – Guardians of The Interwebz

Pelajar TARUC Hadir Dengan Siri Video Celik Digital – Guardians of The Interwebz

Diterbitkan pada Ogos 19, 2019 oleh .

Pada bulan Mei yang lalu Google Malaysia telahpun mengadakan bengkel Guardians of the Interwebz bersama pelajar Fakulti Komunikasi & industri Kreatif, Universiti Kolej Tunku Abd Rahman (TAR UC). Ini adalah kali kedua kerjasama antara Google dan TARUC yang berjalan setiap tahun.

Lanjutan daripadanya, pelajar dalam bidang ini telahpun menghasilkan video-video yang memberikan kesedaran untuk mempertingkat keselamatan dan akaun pengguna di arena digital bertemakan keselamatan, privasi individu, fungsi Family Link dan juga membanteras berita palsu. Video yang dihasilkan ini juga merupakan salah satu tugasan akademik mereka.

Sebanyak 15 video telah disenaraikan dan tiga daripadanya dengan jelas telah merungkai tema-tema yang dibawakan. Kesemua karya mereka yang telah dikongsikan di YouTube, Facebook dan juga Instagram telah menerima 70,000 tontonan dalam masa tiga minggu secara organik dan untuk tahap pelajar, ini merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

Tempat pertama telah dimenangi oleh pasukan yang menceritakan bagaimana melakukan fungsi Family Link bagi memudahkan ibubapa memantau dan juga mengawal penggunaan peranti anak-anak. Fungsi ini juga boleh memastikan anak-anak selamat dari mengakses aplikasi mahupun permainan yang tidak diizinkan.

Pasukan yang mendapat tempat pertama ini akan dibawa melawat ke pejabat Google Malaysia. Menurut Google lagi, setiap tahun program GCafe menyasarkan pelbagai kelompok pengguna dan untuk pelajar, kerjasama dengan TARUC ini merupakan satu kerjasama yang baik dan membuahkan hasil dalam meningkatkan kadar celik digital dikalangan pelajar.

Tonton: Guardians of The Interwebz – Google Malaysia x TARUC


TIPS & ULASAN