Sudah ramai kenalan saya mula beralih daripada menonton filem atau drama cetak rompak ke Netflix. Anda pula bagaimana? Tidak dinafikan yang platform penstriman video ini adalah antara yang terbaik dan berbaloi. Paling mahal pun RM51, jika kongsi kepada lima orang untuk lima profil – baru sekitar RM10 sahaja sebulan.
Terkini aplikasi Netflix untuk televisyen, baik Android TV, televisyen pintar atau juga konsol – ia telah dikemaskini dengan satu kategori baharu. Kategori ini adalah ‘Latest’. Ia akan memaparkan kandungan-kandungan yang akan datang secara mingguan dan ia turut akan memaparkan video acah/sedutan klip rancangan/drama/filem tersebut. Kategori ini boleh diakses melalui talam menu di sebelah kiri. Bukan itu sahaja, Netflix turut sertakan butang peringatan bagi mengingatkan pengguna yang filem/drama/rancangan yang telah dipilih itu sudah boleh ditonton.
Fungsi ini sudah pun hadir pada aplikasi Android dan untuk pengguna iOS ia sedang diuji dan akan hadir secara berperingkat. Cuma untuk versi televisyen sahaja baru diedarkan. Pengguna akan mula melihat fungsi ini bermula Isnin minggu hadapan.