Kereta dengan sistem membuka pintu dan menghidupkan enjin tanpa kunci kini mula digunakan secara meluas termasuk pada kenderaan keluaran tempatan. Kunci dalam bentuk fob hanya perlu berada berhampiran kereta dan pintu anda dinyahkunci secara automatik. Tetapi sekiranya anda mahu maju setapak lagi, Keto ialah sistem yang membolehkan pintu dibuka dan enjin dihidupkan dengan menggunakan aplikasi telefon pintar.
Dengan Keto, Fob dimasukkan ke dalam tempat simpanan khas yang disimpan di dalam kereta. Kenderaan kemudian boleh dibuka dan enjin dihidupkan menerusi aplikasi khas yang telah dibangunkan. Jadi apakah kegunaannya di dunia sebenar? Ini berguna bagi mereka yang mungkin ingin berkongsi kenderaan atau melakukan perniagaan sewa kereta. Akses kepada kenderaan boleh diberikan kepada sesiapa sahaja dengan kod kunci yang dikongsi.
Ia juga berguna bagi ibu bapa yang ingin memantau pergerakan anak-anak. Akses kepada kenderaan misalnya boleh dihadkan sehingga beberapa jam sahaja sebelum aplikasi tidak lagi berfungsi.
Keto menambat kepada peranti secara bluetooth dan sistem audio ultrasonik. Identiti pengguna akan disahkan menggunakan dua sistem ini sebagai langkah keselamatan. Terdapat bateri yang membolehkan Keto berfungsi dan ia disambungkan kepada palam USB kereta untuk dicas.
Peranti ini sedang mengumpul dana menerusi laman biayasama Kickstarter dengan harga jualan bermula dari $119 (~RM497) sebuah. Pada masa ini Keto hanya boleh digunakan pada kenderaan yang sudahpun menyokong penggunaan fob tanpa kunci dan menghidupkan enjin dengan sistem butang sahaja.