Cari @ Amanz

Google Home Mini adalah pembesar suara pintar daripada Google dengan Google Assistant terbina. Ia dilancarkan pada tahun 2017 bersama-sama dengan Google Pixel 2. Pada acara Google I/O 2019, mereka telah pun memberitahu yang barisan produk Google Home akan dijenamakan semula dengan nama ‘Nest’ – salah satu produk yang telah diubah nama adalah Google Home Hub, yang diubah kepada Nest Hub. Tetapi bagaimana pula dengan produk lain?

Pihak 9to5Google baru-baru ini telah menerima satu maklumat yang mengatakan Google Home Mini akan dijenamakan semula kepada Nest Mini. Kemudian generasi kedua produk ini dikatakan akan hadir dengan port bicu audio 3.5mm, wall mount terbina dan juga kualiti audio yang lebih baik. Bertambah menarik, Nest Mini ini dikatakan turut akan mempunyai sensor proksimiti terbina seperti cip Soli yang akan hadir pada Google Pixel 4. Tetapi ia mungkin mempunyai fungsi yang terhad, seperti hanya boleh memaparkan aras suara yang telah ditetapkan apabila pengguna berada berdekatan dengan Nest Mini.

Jika Google mengikut trend mereka sebelum ini, Google Home Mini sedia ada mungkin akan dihentikan pengeluaran dan akan digantikan dengan Nest Mini. Harga mungkin akan dikekalkan pada $49 dan mungkin akan dilancarkan bersama-sama dengan Pixel 4 tidak lama lagi. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd