Cari @ Amanz

Revolusi Industri 4.0 (IR4.0)  merupakan satu istilah dalam bidang industri teknologi yang bertujuan untuk mendidik orang ramai supaya sentiasa bersedia  untuk ke arah dunia automasi, pertukaran data, perkomputeran awan, pemasaran digital dan sebagainya. Dengan kewujudan revolusi ini, ia sedikit sebanyak dijangka akan mengubah cara kerja sesuatu industri. Facebook juga merupakan salah satu platform yang dilihat dapat membantu sesuatu perniagaan terutamanya dalam bidang pemasaran digital.

Menurut data yang dikongsikan, sebanyak 97% SME di Malaysia menyatakan bahwa pengetahuan tentang pemasaran digital melalui Facebook adalah sangat penting untuk sesebuah perniagaan. Manakala 85% menyatakan bahawa mereka adalah antara golongan yang aktif dalam mengaplikasikan penggunaan Facebook untuk memasarkan produk dan servis mereka.

Oleh itu, Facebook merasakan ini sebagai tanggungjawab mereka untuk membantu para SME ini dalam bentuk pemasaran digital. Jadi bagi membantu organisasi organisasi ini, pihak mereka melancarkan program Made By Malaysia, Loved by the World pada tahun lepas dan fasa kedua untuk tahun ini. Facebook telah bekerjasama dengan Malaysia Enternal Trade Development Corporation (MATRADE), platform e-dagang Avana dan juga DHL dalam memberikan kemudahan kepada organisasi organisasi ini untuk mengembangkan perniagaan mereka secara meluas samada di Malaysia atau juga di rantau Asia.

Antara SME yang terlibat dalam program ini adalah Oleh Elona yang hadir dengan solusi melalui bahan organik untuk penyakit Eczema dan kulit yang sensitif dan juga Auntie TIM yang merupakan perniagaan sambal sedia-dimasak. Selepas menyertai program ini pada tahun lepas, hari ini kedua-duanya telah berkongsikan bahawa perniagaan mereka dilihat semakin berkembang dan tempahan juga semakin meningkat dari hari ke hari hasil daripada bantuan daripada program yang dilancarkan oleh Facebook ini.

Melalui program yang akan berlangsung bermula 28 Ogos 2019 ini, para SME akan mempelajari pelbagai teknik dalam bidang pemasaran digital, proses pembinaan platform e-dagang, teknik dalam menggunakan Cross Border Insights Finder serta pembelajaran di atas talian melalui Facebook Blueprint. Hal ini sekaligus menjadikan perniagaan mereka seiring dengan Revolusi Industri 4.0 yang semakin berkembang. Program ini telah pun melatih lebih daripada 1000 buah SME secara individu di 7 buah negeri, termasuklah Pahang, Perak dan Johor.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd