Cari @ Amanz

Apple Menyarankan Pemilik Apple Card Untuk Tidak Menyimpannya Didalam Dompet Kulit Ataupun Poket Denim

Oleh Nazrin

Link Copied!

Apple baru-baru ini melancarkan kad kredit Apple Card mereka, dimana ia boleh dikatakan sebuah simbol status lebih daripada suatu keperluan untuk membeli peranti-peranti Apple yang sudahpun sedia mahal.

Kad tersebut diperbuat daripada logam titanium, dan seperti banyak peranti dimana rangkanya diperbuat daripada apa-apa jenis logam, ia hadir dengan cara penyimpanan dan pembersihan tersendiri.

Apple, melalui laman web mereka telah menunjukkan cara-cara pengguna boleh menyimpan dan membersihkan Apple Card tersebut. Untuk membersihkannya, mereka menyarankan pengguna untuk menggunakan kain microfiber dan cecair alkohol isopropil untuk menghilangkan kotoran yang boleh ditanggal.

Dimana petua ini menjadi lebih menarik ialah apabila Apple menasihati pemilik kad titanium ini untuk tidak menyimpannya didalam dompet kulit ataupun poket seluar denim. Menurut Apple, jika kad ini disimpan didalam bahan yang boleh mengotorkan permukaan tersebut, terdapat kebarangkalian bahawa kotoran tersebut akan menjadi mustahil untuk dibersihkan.

Selain dari itu, Apple juga menasihati supaya kad tersebut tidak ditindih oleh kad ataupun benda-benda yang boleh mencalarkan permukaan kad tersebut.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, kita dapat lihat bahawa Apple Card ini adalah sebuah simbol status yang perlu dijaga seperti seorang bayi yang baru dilahirkan. Ironinya kebanyakan mereka yang memiliki kad ini akan memautkannya pada ciri Apple Pay untuk membayar pembelian mereka untuk memastikan kad tersebut bebas dari sebarang cacat cela.


Komen ()