Carian
Ini Adalah Spesifikasi ASUS ROG Phone II Untuk Pasaran Malaysia
August 23, 2019 Nazrin

ASUS telah memperkenalkan peranti pintar gaming mereka yang terbaru, iaitu ASUS ROG Phone II dimana ia hadir dengan spesifikasi dalaman yang boleh dikatakan overkill, dan sarat dengan ciri-ciri yang cukup menarik.

Buat masa ini, tarikh pelancaran dan tanda harga untuk pasaran tempatan masih belum diperlihatkan lagi untuk peranti tersebut, tetapi pihak ASUS Malaysia baru sahaja mengesahkan spesifikasi dalaman untuk peranti ROG Phone II tersebut yang akan dibawa masuk ke Malaysia.

Apa yang menarik mengenai pengumuman ini ialah ia dibuat dari segi perbandingan dengan peranti ROG Phone II versi Tencent yang sepatutnya hadir di pasaran China sahaja.

Melalui carta yang disediakan, kita dapat melihat bahawa spesifikasi dalaman seperti sokongan rangkaian 4G, jumlah memori (12GB) dan storan (512GB, 1TB) semuanya jauh lebih tinggi daripada versi Tencent. Model tempatan juga hadir dengan sokongan untuk Intel WiGIG, dan ini tidak hadir pada versi Tencent.

Dari segi aksesori, model ROG Phone II untuk pasaran Malaysia akan menerima rekaan rangka kaca sepenuhnya, aksesori penyejuk AeroActive Cooler dan kerangka Aero Case yang jauh lebih baik daripada kerangka lutsinar yang disertakan dengan versi Tencent.

Bukan itu sahaja, setiap pembelian model ROG Phone II tempatan juga akan menerima pengecas 30W, kabel USB Type-C-to-C, dan semua aksesori-aksesori ini akan dimuatkan didalam kotak Six Prism yang hadir dengan rekaan menarik.

Apabila ditanya bilakah peranti ASUS ROG Phone II ini akan memasuki pasaran tempatan, jurucakap ASUS Malaysia hanya memberitahu kami bahawa butiran tarikh dan harga akan diumumkan “tidak lama lagi”.

Komen