Skrin OLED yang digunakan pada iPhone XS dan XS Max dihasilkan oleh Samsung dan LG. Dengan ini, Apple akan dapat mengurangkan pergantungan pada satu pembekal sehingga tidak dapat melakukan rundingan harga. Apple mungkin akan menggunakan skrin OLED keluaran BOE pula bagi memberikan saingan kepada LG dan Samsung.
Menurut laporan Nikkei Asian Review, Apple sedang menguji skrin OLED keluaran BOE sebelum mengambil keputusan mengambil mereka sebagai pembekal menjelang penghujung 2019. Sekiranya mereka berjaya. BOE akan menjadi pembekal skrin pertama dari China digunakan oleh Apple pada iPhone. Sebelum ini mereka hanya menggunakan skrin OLED dari Korea Selatan dan skrin LCD dan Jepun.
BOE dipercayai dapat menawarkan harga panel OLED yang lebih rendah kerana menerima subsidi dari kerajaan China. Kepakaran mereka menghasilkan skrin OLED sudahpun diperlihatkan pada peranti Huawei seperti Mate 20, P30 Pro dan Mate X. Mereka juga menjadi pengeluar pertama menghasilkan skrin LCD dengan pengimbas cap jari bawah skrin.