Minggu lepas Redmi telah mengacah yang barisan peranti Redmi Note 8 mereka akan mempunyai sokongan rakaman video lebih dari 8K, zum 25 kali dan juga sistem penyejukan cecair. Bukan itu sahaja, Redmi turut memberitahu yang peranti mereka ini akan mempunyai lensa 64MP dan dijana cip pemprosesan MediaTek G90T.
Hari ini Redmi telah mengesahkan yang Redmi Note 8 akan dijana Snapdragon 665. Manakala, Redmi Note 8 Pro adalah variasi yang akan dijana MediaTek G90T. Bukan itu sahaja, jenis lensa buat Redmi Note 8 turut diberitahu melalui Weibo. Peranti ini mempunyai empat lensa di belakang; 48MP lensa utama + lensa ultra sudut lebar + lensa makro dan lensa kedalaman. Secara tidak langsung mengesahkan yang Redmi Note 8 Pro adalah variasi peranti dengan lensa 64MP.
Melalui gambar acah di Weibo ini juga, rekaan bahagian belakang Redmi Note 8 memperlihatkan lokasi kamera di tepi, manakala Redmi Note 8 Pro seperti yang dilaporkan minggu lepas – berada di tengah.
Kedua-dua Redmi Note 8 ini akan dilancarkan dalam masa tiga hari lagi, iaitu 29 Ogos 2019. Jika semasa Redmi Note 7, ia adalah antara peranti paling murah dengan kamera 48MP – bagaimana pula dengan Redmi Note 8? Sama-sama kita nantikan.