Sejak Apple melancarkan AirPods beberapa tahun lepas, semakin banyak pengeluar gajet/aksesori mengeluarkan produk yang lebih kurang sama – iaitu set fon telinga nirwayar sebenar. Ada yang memfokuskan rekaan, ada yang fokus kepada audio – tetapi rekaannya hodoh, ada juga yang memfokuskan spesifikasi dengan harga yang sangat murah.
Lenovo juga tidak asing dengan trend ini. Mereka turut mempunyai set fon telinga nirwayar sebenar yang diberi nama Lenovo Air. Dengan banyak sangat pilihan dengan harga berbeza dan kualiti berbeza di pasaran sekarang, bagaimanakah kualiti audio Lenovo Air ini? Adakah ianya berbaloi? Ketahanan bateri pula bagaimana? Jika itu persoalan anda, mari baca artikel ini, kerana ini adalah artikel ulasan Lenovo Air.
Spesifikasi
Lenovo Air | |
---|---|
Jenis | Fon dalam-telinga |
Mikrofon | Dua |
Bateri | 55 mAh pada fon telinga 400 mAh pada pod pengecas |
Port pengecas | MikroUSB |
Pengecasan nirwayar | Tiada |
Sistem operasi disokong | Android, iOS, MacOS, Windows 10 |
Sokongan pembantu maya | Ya, 3 kali tekan |
Pad sesentuh | Ya, tekan dan tahan untuk aras suara |
Kemampuan kalis air | IPX5 |
Storan Dalaman | Tiada |
Audio Offline | Tiada |
Pengimbas nadi | Tiada |
Harga Jualan | RM149 |
Lenovo Air mempunyai dua fon telinga yang mempunyai bateri 55mAh pada setiap satu. Pod pengecasannya pula adalah 400mAh. Jika dibandingkan dengan Redmi AirDots, Redmi mempunyai bateri hanya 40mAh pada fon telinga dan hanya 300mAh pada pod penegecasan.
Jenis Bluetooth yang digunakan adalah Bluetooth 4.2. Jenis Bluetooth ini untuk sepasang set fon telinga nirwayar sebenar, sebenarnya agak lapuk. Ini kerana sudah banyak jenama menggunakan Bluetooth 5.0. protokol Bluetooth yang disokong adalah A2DP,AVRCP dan HSP. Terdapat mikrofon terbina pada setiap fon telinga untuk panggilan suara dan juga pembantu maya seperti Siri dan Google Assistant.
Bagi yang gemar bersukan, Lenovo Air mempunyai perlindungan IPX5 – jadi berpeluh tidak akan mendatangkan masalah. Perlindungan ini hanya terdapat pada fon telinga sahaja ya, tiada perlindungan pada pod pengecasan.
Rekaan
Rekaan setiap fon telinga ini kelihatan sedikit janggal, jika dibandingkan dengan mana-mana set fon telinga nirwayar sebenar yang lain. Tetapi saiznya masih kecil dan apabila dimasukkan ke dalam telinga – ia sangat selesa dan sukar untuk tertanggal.
Permukaan setiap fon telinga ini terdapat butang fizikal untuk kawalan. Ia juga disertakan dengan lampu LED bagi memberitahu status pengesan dan juga tambatan. Lampu LED ini jugaakan menyala sejurus ia dikeluarkan dari pod pengecasannya.
Bahan binaan pada fon telinga ini adalah plastik dengan gabungan tiga jenis kemasan; iaitu berkilat, seakan berus besi dan juga matte. Ia kelihatan sedikit premium, tetapi jika dipegang masih rasa murah. Pada bahagian muncung fon telinga, ia menggunakan rekaan yang sedikit tajam dan memanjang – jadi perasaan sedikit aneh apabila ingin memasukkan ke telinga.
Untuk pod pengecasannya pula, ia adalah gabungan aluminium dan plastik. Rekaannya sangat unik dan terasa premium. Membuka pod pengecasan ini juga adalah menarik, ia menggunakan mekanisma bermagnet yang boleh ditarik. Untuk rekaan dengan harga yang melebihi RM100, Lenovo Air boleh dikatakan mempunyai rekaan yang boleh diterima. Menjadikan Lenovo Air lebih unik, pod pengecas mempunyai jalur lubang di permukaan hadapan – bagi melihat status bateri melaui lampu LED.
Mengecas setiap fon telinga adalah melalui sambungan magnetik. Ia perlu diletakkan dalam pod pengecasan dan kekuatan magnetiknya agak kuat. Ia hanya akan jatuh apabila digoncang dengan kuat, jika terbalik begitu sahaja ia masih kekal bersambung. Mengeluarkan fon telinga daripada pod juga tidak melecehkan dan amat mudah. Ia tidak terlampau ke dalam seperti Redmi AirDots.
Kualiti Bunyi
Sepatutnya aksesori audio yang dijual pada harga melebihi RM100 mempunyai kualiti audio yang memuaskan. Tetapi Lenovo Air ini tidak. Ia seakan tidak mempunyai bass, bunyi yang terlampau flat dan butiran dalam setiap muzik sukar untuk didengar. Minta maaf jika saya kasar, kualiti audionya adalah lebih teruk daripada Redmi AirDots.
Vokal pada setiap muzik jelas didengari, tetapi tidak memuaskan. Baik Spotify atau Tidal, audio yang dihasilkan tidak memberikan pengalaman yang mengasyikkan. Dentuman bass tidak kuat, treble tidak hebat dan atas ujian saya – ia hanya sesuai untuk tonton filem/drama lama atau muzik yang tenang. Mendengar muzik moden seperti OST Spider-Man Into The Spider-Verse, ia ibarat menggunakan set fon telinga bawah RM50.
Pemacu audio yang terbina seolah tidak sesuai untuk Lenovo Air ini. Apabila aras audio maksima ditetapkan, bunyi terlampau tajam dan tidak selesa untuk didengar. Set fon telinga nirwayar sebenar ini berada dalam kategori TWS, iaitu True Wireless Stereo. Konsep stereo itu seolah tidak terdapat pada Lenovo Air ini. Untuk pembatalan bunyi hingar, sudah tentu Lenovo Air tidak menyokongnya. Tetapi dengan rekaan hujung fon telinga yang tajam dan bentuk getah yang sedikit berbeza, ia boleh menapis bunyi hingar dengan baik. Di dalam pejabat, agak sukar untuk mendengar seseorang panggil saya sambil mendengar muzik dengan Lenovo Air.
Jika anda seorang peminat audio (audiophile), Lenovo Air bukan untuk anda. Sebaliknya ia adalah untuk mereka yang inginkan set fon telinga nirwayar sebenar dengan rekaan yang kecil, tampak premium dan lebih mampu milik. Ini kerana selepas Apple AirPods, jenama-jenama besar seperti Jabra, Sudio, Bose, Sony menjualnya pada harga melebihi RM300. Malah ada yang mencecah ribuan ringgit.
Bagi mereka yang ingin menggunakan Lenovo Air untuk bermain permua seperti PUBG atau menonton video di Netflix – lupakan. Lenovo Air masih menggunakan Bluetooth 4.2 dan bermain permua adalah sangat sela masa dan menjengkelkan. Jelas di sini ia hanya sesuai untuk panggilan suara dan muzik sahaja.
Penggunaan
Cara penggunaan yang agak mudah dan ringkas. Jika fon telinga baru sahaja keluar dari pod pengecas, ia akan dihidupkan secara automatik. Buka sahaja tetapan Bluetooth peranti dan terus tambat pada Lenovo Air. LED warna putih akan menyala bagi memberitahu yang tambatan sudah berjaya.
Butang fizikal pada setiap fon telinga mempunyai fungsi kawalan yang menarik. Hampir sama dengan mana-mana set fon telinga nirwayar sebenar yang mempunyai butang fizikal, seperti tekan sekali untuk jawab panggilan/menjeda muzik, tekan dan tahan sekitar 3 saat untuk tolak panggilan telefon atau hentikan dan tekan dua kali untuk langkau muzik.
Apa yang menarik pada kawalan ini adalah, tekan + tahan + gesek fon kanan untuk naikkan aras suara dan tekan + tahan + gesek fon kiri untuk rendahkan aras suara. Untuk pembantu maya pula, tekan tiga kali dan Siri atau Google Assistant akan sedia membantu. Tetapi, kualiti audio apabila pembantu maya mula memberi respon adalah sangat mengecewakan.
Jika Lenovo Air ditanggalkan dari telinga, muzik tidak akan terjeda secara automatik – kerana tiada sensor cahaya ambient. Sokongan auto-main semula muzik apabila Lenovo Air disumbat semula ke telinga juga tidak disertakan. Dengan kata lain Lenovo terpaksa korban banyak fungsi menarik lain seperti kawalan gestur atau sebagainya, agar tidak dijual begitu mahal dan hanya mempunyai fungsi-fungsi asas sahaja.
Bateri
Apa yang Lenovo iklankan buat Lenovo Air adalah, bateri apabila mendengar muzik mampu bertahan selama 10jam lamanya (termasuk bateri pada pod pengecasan) dan panggilan telefon adalah 3jam. Disebabkan saya banyak mendengar muzik dan tonton video (walaupun video audionya sela masa, saya layan sahaja) saya dapat mengesahkan yang bateri mampu bertahan sekitar 10jam. Fon telinga sahaja jika tidak disimpan dalam pod pengecas, bateri hanya bertahan sekitar 2 jam sahaja. Ini kerana ia tidak auto jeda apabila ditanggal.
Mengecas pod pengecasan adalah menggunakan kabel mikroUSB dan ia mengambil masa agak lama – iaitu sekitar bawah 2jam. Dengan pod pengecas yang penuh bateri, fon telinga boleh dicas sekitar 7 kali.
Baik Android atau iOS, status bateri Lenovo Air ini boleh dipaparkan pada setiap peranti. Itu agak menarik, kerana ia boleh memberitahu pengguna bila masa pengecasan telah tiba.
Kesimpulan
Lenovo Air menyasarkan pengguna yang ingin memiliki set fon telinga nirwayar dengan harga yang lebih mampu milik. Rekaannya tidak boleh dibandingkan dengan Redmi AirDots, kerana Lenovo Air lebih premium. Tetapi jika dibandingkan kualiti audio, Redmi AirDots adalah lebih baik.
Bunyi Lenovo Air hanya enak didengari jika muzik yang dimainkan adalah jenis yang lembut, tenang dan klasik. Kemudian aras suara tidak boleh ditetapkan pada maksima jika ingin pengalaman yang lebih baik. Masalah yang paling menjengkelkan adalah Bluetooth 4.2 yang sudah lapuk dan sela masa audio apabila bermain permua dan tonton video.
Harga jualan Lenovo Air adalah RM149, dan boleh didapatkan secara rasmi di gedung atas talian Motorola di Shopee.
KELEBIHAN | KEKURANGAN |
|
|