Razer Store Terbesar Di Dunia Akan Dibuka Di Las Vegas Pada Bulan Depan

Razer Store Terbesar Di Dunia Akan Dibuka Di Las Vegas Pada Bulan Depan

Diterbitkan pada Ogos 26, 2019 oleh .

Razer boleh dikatakan salah satu daripada jenama aksesori dan kelengkapan gaming paling terkenal di dunia. Daripada tetikus, papan kekunci, fon kepala dan sebagainya, aksesori dengan jenama Razer biasanya hadir dengan tanda harga premium sesuai untuk gamer kelas bangsawan.

Syarikat tersebut hanya mempunyai tiga kedai fizikal (Razer Store) di sekitar dunia, dan kini, Razer dikatakan akan membuka kedai fizikal keempat di Las Vegas pada bulan hadapan.

Razer Store tersebut akan dibuka di LINQ Promenade, dan apabila ia dibuka pada 7 September kelak, ia akan menjadi kedai Razer yang terbesar di dunia setakat ini, dengan saiz 2400 kaki persegi dan merangkumi dua tingkat.

Selain daripada menjual peranti dan aksesori gaming, Razer Store Las Vegas ini juga akan merumahkan 10 buah komputer gaming yang boleh digunakan untuk tujuan pertandingan e-sukan, manakala di tingkat atas, Razer akan menyediakan kawasan-kawasan penstriman untuk mereka yang memerlukannya.

Sebuah dinding yang dilengkapi dengan 16 buah televisyen bersaiz besar juga akan dimuatkan didalam Razer Store ini, yang akan menunjukkan rakaman ataupun siaran langsung acara-acara e-sukan yang sedang berlangsung, yang dapat dilihat oleh hampir semua orang didalam kedai tersebut.

Sebelum pembukaan Razer Store di Las Vegas ini, Razer sudahpun membuka tiga lagi kedai di San Francisco, Hong Kong dan juga Taiwan.


TIPS & ULASAN