Jika anda penggemar permainan MMORPG seperti World of Warcraft ataupun Final Fantasy XIV, anda pastinya biasa dengan situasi dimana anda perlu menekan banyak butang untuk menggunakan kebolahan watak dalam permainan secara kelam-kabut.
Cooler Master memperkenalkan tetikus MMORPG mereka yang dinamakan Cooler Master MM830 yang dibina khusus untuk genre permainan tersebut, yang membolehkan penggunakan kebolehan dalam permainan tanpa perlu risau mengenai menekan butang yang salah.
Rangka tetikus MM830 ini diperbuat daripada gabungan bahan polikarbonat dan juga getah yang mempunyai estetik yang sedikit agresif, tetapi masih mengekalkan rekaan ergonomik yang selesa tidak kira cara genggaman tetikus anda.
Selain daripada lapan butang-butang yang boleh diubahsuai dan roda penatal yang biasa, tetikus MM830 ini juga hadir dengan empat butang yang kelihatan sedikit seperti butang D-Pad pada sebuah pengawal permainan.
Bukan itu sahaja, tetikus ini juga dilengkapi dengan sebuah skrin OLED kecil yang menunjukkan profil tetikus anda. Anda boleh mengubahsuai sebanyak empat profil melalui tetikus ini, dan dengan sensor PixArt 3360, anda boleh memilih sensitiviti sensor tersebut sehingga 24000 DPI.
Satu cara untuk anda mengubahsuai kelajuan tetikus ini dan juga sistem pencahayaan RGBnya ialah melalui perisian Cooler Master yang boleh dimuat turun. Melalui perisian ini, setiap profil tetikus ini juga boleh diubahsuai dan disimpan terus didalam tetikus ini.
Menurut Cooler Master Malaysia, tetikus MM830 ini sudahpun tiba di pasaran tempatan, dan boleh dibeli pada harga RM289.