Cari @ Amanz

Sejak dari awal lagi Netflix mempunyai tab khas untuk siri TV atau filem yang ingin disarankan kepada anda berdasarkan apa yang ditonton sebelum ini. Algoritma ini akan memaparkan kandungan yang paling sesuai dengan citarasa penonton dan ini mungkin boleh mengakibatkan kandungan baharu yang di luar minat tidak ditonton. Ini boleh dilihat sebagai sesuatu yang negatif kerana kadang kala kita ingin dikejutkan dengan kandungan yang sedikit berlainan dari minat.

Netflix kini sedang menguji tab Collections di dalam aplikasi telefon pintar mereka. Ia ditemui oleh seorang pengguna twitter Jeff Higgins. Kandungan Netflix dimasukkan ke dalam senarai seperti Short and Funny, Just For Laughs dan Take a Closer Look. Dengan senarai-senarai ini mungkin pengguna boleh menemui kandungan lain yang mungkin tersorok kerana algoritma yang digunakan sebelum ini.

Ujian seperti ini kerap dilakukan oleh Netflix tetapi tidak semestinya akan diberikan kepada semua. Malahan antaramuka aplikasi Android dan iOS juga mempunyai rekaan serta ciri yang sedikit berbeza. Ciri ini mungkin adalah jawapan Netflix kepada Apple TV+ dan Disney+ yang dilaporkan akan mempunyai senarai main yang turut dihasilkan oleh manusia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd