Pembesar suara pintar adalah pembesar suara dengan pembantu digital terbina. Antara yang popular adalah Google dengan barisan produk Google Home mereka dan juga Amazon dengan barisan produk Echo mereka. Tetapi itu adalah untuk pasaran Amerika Syarikat dan beberapa negara lain lagi. Jika di China, Baidu juga mempunyai produk yang lebih kurang sama seperti Raven-H dan Xiaodu.
Dalam analisa jualan pembesar suara pintar terbaik, Amazon sentiasa yang pertama dan Google adalah yang kedua. Tetapi kini, percaya atau tidak menurut Canalys – Baidu kini nombor dua menewaskan Google dan berada di bawah Amazon. Dari segi keseluruhan untuk peringkat global, jualan pembesar suara pintar meningkat 55.4% untuk suku kedua 2019 dengan jumlah 26.1 juta unit terjual.
Untuk suku kedua tahun 2019; Amazon menjual 6.6 juta unit, iaitu meningkat sebanyak 61.1% berbanding jualan suku kedua tahun lepas. Google pula yang tahun lepas berjaya menjual sebanyak 5.4 juta unit, telah merudum sebanyak 19.8% kerana hanya menjual sebanyak 4.3 juta unit untuk tahun ini. Baidu yang hanya jual di China sahaja meningkat sebanyak 3700% dengan jumlah jualan 4.5 juta pada tahun ini, berbanding tahun lepas mereka hanya menjual 0.1 juta unit sahaja.
Kejayaan Baidu ini adalah kerana pembesar suara pintar mereka Xiaodu yang dijual pada harga yang murah. Barisan produk Baidu ini dijual pada harga dari RMB89 sehingga RMB699, iaitu sekitar RM52.50 – RM412.25 sahaja.