Siri Huawei Nova adalah peranti yang dijual pada harga kelas pertengahan, tetapi dengan spesifikasi peranti mercu. Peranti sesuai untuk mereka yang ingin miliki peranti mercu seperti siri P, tetapi tidak mampu.
Terkini dalam barisan peranti Nova, Huawei telah melancarkan secara rasminya Huawei Nova 5T. Nova 5T adalah penambahan baru untuk siri Nova 5. Pada bulan June, Nova 5 dan Nova 5i telah dilancarkan, kemudian pada hari yang sama Nova 5 Pro pula dilancarkan. Tidak cukup dengan itu, sebulan selepasnya Nova 5i Pro pula dilancarkan. Jadi Nova 5T ini peranti apa pula?
Dari segi spesifikasi ia adalah sama dengan Honor 20 Pro, tetapi dengan harga jualan yang lebih murah. Nova 5T mempunyai skrin berlubang 6.26-inci IPS LCD dengan resolusi FHD+. Ia dijana dengan HiSilicone Kirin 980 (7nm) dan dipadankan dengan memori 8GB dan 128GB storan dalaman berasaskan UFS2.1. Untuk kamera utama, Nova 5T mempunyai gabungan lensa 48MP + 16MP lensa ultra-lebar + 2MP Makro + 2MP sensor kedalaman. Kamera swafoto pula adalah 32MP dan mempunyai kapasiti bateri 3750mAh dengan sokongan pengecasan pantas 22.5W melalui USB-C.
Untuk sekuriti, peranti ini mempunyai pengimbas cap jari fizikal di sisi. Peranti ini menjalankan sistem operasi EMUI 9.1 terkini yang berasaskan Android 9.0 Pie. Untuk rekaan pula, Huawei Nova 5T mempunyai rekaan yang cantik dan pilihan warna Black, Crush Blue dan Midsummer Purple. Warna Midsummer Purple adalah yang paling istimewa kerana mempunyai rekaan tulisan tipografi Nova.
Harga jualan adalah RM1,599 dan pra-tempahan dibuka dari 29 Ogos 2019 – 5 September 2019. Sesiapa yang membuat tempahan pada waktu ini akan menerima Huawei Mini Speaker dan pengecas dalam kereta Huawei SuperCharge. Manakala yang membeli selepas 5 September hanya layak menerima pengecas dalam kereta Huawei SuperCharge jika stok masih ada. Lebih menarik, dari 29 Ogos – 31 September Huawei menawarkan jaminan tambahan selama 1 tahun.