Apple Dilaporkan Menghentikan Pembangunan Fungsi Walkie Talkie Pada iPhone

Apple Dilaporkan Menghentikan Pembangunan Fungsi Walkie Talkie Pada iPhone

Diterbitkan pada Ogos 27, 2019 oleh .

Walkie talkie ialah sistem perhubungan radio dua hala jarak pendek yang dicipta oleh Donald Hing pada tahun 1937. Ciptaan beliau ini membolehkan sistem perhubungan radio dua hala mudah alih dibawa ke medan perang. Walaupun sudah wujud lebih 80 tahun, walkie talkie masih digunakan terutamanya oleh pihak tentera. Menurut laporan The Information, Apple telah menghentikan pembangunan sistem walkie talkie pada iPhone.

Menerusi sistem ini, sepatutnya dua iPhone boleh berhubung antara satu sama lain tanpa bergantung kepada rangkaian selular ataupun WiFi. Pengguna iPhone yang sedang melakukan aktiviti luaran di tempat terpencil kemudian masih boleh berhubung antara satu sama lain seperti walkie talkie sebenar.

Pembangunan sistem ini dihentikan kerana ia memerlukan modem yang dikeluarkan oleh Intel. Memandangkan Apple menandatangani perjanjian menggunakan modem Qualcomm awal tahun ini, sistem ini tidak lagi boleh digunakan. Tetapi tidak mustahil ia diperkenalkan pada model iPhone di masa hadapan memandangkan Apple membeli perniagaan modem telefon pintar milik Intel.

Sebagai penerangan, sistem walkie talkie ini bukanlah sistem Walkie Talkie yang digunakan pada Apple Watch sekarang. Sistem tersebut hanya menggunakan nama tetapi sebenarnya memerlukan rangkaian Internet.



TIPS & ULASAN