Pandang Pertama: Huawei Nova 5T – Hanya Honor 20 Yang Lebih Murah?

Pandang Pertama: Huawei Nova 5T – Hanya Honor 20 Yang Lebih Murah?

Diterbitkan pada Ogos 27, 2019 oleh .

Huawei Nova 5T adalah peranti baharu dari Huawei. Ia dilancarkan di Malaysia secara rasmi hari ini. Kita ada dengar yang siri Nova 5 akan tiba, tetapi yang dilancarkan adalah Nova 5T. Peranti apakah ini?

Jika dilihat pada spesifikasi peranti ini bersaing dengan Honor 20. Tetapi yang mana satukah lebih baik jika kedua-duanya lebih kurang sama? Saya dapat mencuba peranti ini dalam masa yang singkat dan dalam artikel ini akan saya ceritakan pendapat saya mengenai Nova 5T.


Spesifikasi

Nova 5T dijana dengan cip pemprosesan 7nm HiSilicone Kirin 980 dan dipadankan dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman UFS2.1 128GB. Peranti ini menggunakan skrin berlubang LCD bersaiz 6.26-inci dengan resolusi FHD+. 

Terdapat empat kamera diletakkan di bahagian belakang yang terdiri daripada lensa 48MP (utama) + 16MP (ultra-lebar) + 2MP (makro) + 2MP (sensor kedalaman). Kamera swafoto pula adalah 32MP. Buat pertama kalinya peranti dalam siri Nova mempunyai pengecasan pantas 22.5W. Ini amat sesuai untuk mengecas peranti ini yang mempunyai bateri 3750mAh melalui port USB-C.

Untuk sekuriti peranti meletakkan pengimbas cap jari klasik di sisi dan untuk tambahan, terdapat juga nyahkunci berasaskan wajah yang menggunakan kamera swafoto. Peranti ini menjalankan EMUI 9.1 berasaskan Android Pie dan mempunyai sensor infra merah untuk menjadikannya sebagai alat kawalan jauh.

Prestasi

Spesfikasi pada peranti ini boleh dikatakan agak mengagumkan. Dengan cip pemprosesan yang sama dengan Huawei P30 dan RAM yang besar, tidak dinafikan peranti ini mempunyai prestasi yang dahsyat. EMUI 9.1 pula mempunyai GPU Turbo baharu, jadi bermain permua akan lebih mengasyikkan.

Tatalan kiri, kanan, atas dan bawah sangat lancar dan tiada lengah masa terasa. Buka/tutup/tukar aplikasi juga agak baik dan memuaskan. Cuma, jika dibandingka dengan peranti mercu premium – masa respon sentuhan terasa sedikit perlahan. 

Rekaan

Ini adalah peranti kelas pertengahan, jadi apabila peranti ini berada di tangan ia tidak terasa premium. Peranti ini juga ringan dan selesa di tangan, tetapi panel belakangnya mudah kotor dengan kesan cap jari. Bercakap mengenai panel belakang, warna yang paling cantik adalah Midsummer Purple kerana mempunyai rekaan tulisan tipografi Nova dan kelihatan lebih unik.

Susun atur kamera di tepi mirip Huawei P30, di bawah terdapat kekisi pembesar suara dan port USB-C. Tiada port bicu audio 3.5mm kali ini. Pada bahagian atas, terdapat sensor infra merah dan terus ke skrin – kekisi pembesar suara hadapan berada di bahagian bingkai atas. Rekaan skrin adalah nirbingkai penuh, tetapi dagu agak tebal. Di sisi kiri hanya terdapat slot kad SIM dan sisi kanan pula adalah butang kuasa dan butang aras suara. 

Kamera

Atas percubaan masa singkat, prestasi kamera membuatkan saya memuji kamera peranti ini. Walaupun lokasi acara mempunyai pancaran cahaya yang kurang dan suasana agak gelap, hasil gambar adalah baik. Kamera-kamera Nova 5T menggunakan teknologi daripada Huawei sendiri seperti AIS dan mod malam yang hebat.

This slideshow requires JavaScript.

Tetapan kecerdasan buatan telah diaktifkan sebaik sahaja saya membuka aplikasi kamera. Cara ia mengesan subjek gambar dilihat lebih pantas jika dibandikan dengan peranti Honor atau Huawei. 

Harga

Huawei Nova 5T dijual pada harga hanya RM1,599 dengan pilihan warna hitam atau Crush Blue atau Midsummer Purple. Variasi hanya ada satu sahaja iaitu 8/128 GB.

Pendapat

Jelas di sini yang Huawei cuba menandingi Xiaomi Mi 9T Pro atau lebih dahsyat ia juga menandingi Honor 20. Harga jualan lebih murah dengan spesikasi yang lebih menakjubkan, pasti ramai akan tertarik.

Xiaomi dilihat seakan fokus pada jenama Redmi dan jenama Pocophone dilihat sudah sepi. Adakah Huawei pula bakal menjadi trend baharu dalam penawaran ‘peranti mercu’ harga bajet. Jika ya, mungkin para netizen sudah boleh mula tularkan tanda tagar #BaikBeliNova.


TIPS & ULASAN