Lampu tidur adalah barangan elektronik wajib bagi sesetengah individu. Dengan zaman teknologi yang semakin canggih ini, pelbagai jenama lampu yang boleh kita dapatkan – sama ada pintar atau mudah alih.
Terkini Xiaomi telah memperlihatkan Mijia Night Light 2. Iaitu pengganti kepada Mijia Night Light yang dilancarkan pada tahun 2017. Kali ini, kecerahan lampu ini mencapai sehingga 25 lumen dan terdapat pilihan warna lampu suam 2800K. Selain itu lampu ini turut boleh dijadikan sebagai lampu sorot (spotlight), jika tidak ingin menggunakannya sebagai lampu tidur.
Bahan binaan lampu ini adalah ABS dan LED adalah jenis Fresnel yang dilindungi dengan plastik kemasan matte. Bahagian badan lampu ini terdapat magnet, agar keseluruhan badannya boleh diputar untuk melaras tahap kecerahnnya. Tapaknya pula diperbuat daripada bahan mudah cengkam yang boleh dilekatkan pada pelbagai permukaan. Mijia Night Light 2 ini turut mempunyai sensor terbina yang boleh mengesan manusia dalam radius 120 darjah – jika manusia dikesan, lampu akan hidup dan jika dalam masa 15 saat tiada manusia dikesan lampu akan terpadam.
Bateri adalah 1500mAh yang boleh bertahan selama setahun mengikut cara penggunaan. Harga jualan adalah RMB49, iaitu sekitar RM29. Tetapi jika menyertai kempen biayasama, harga jualan adalah RMB99 untuk tiga unit – iaitu sekitar RM58 sahaja. Kempen biayasama ini diadakan di laman web Xiaomi China.