Cari @ Amanz

Selepas diacah selama beberapa minggu. peranti pintar pertama dengan kamera utama sebesar 64-Megapixel akhirnya dilancarkan. Redmi Note 8 Pro menggunakan sensor 64-Megapixel yang dihasilkan oleh Samsung dan dilancarkan serentak dengan Redmi Note 8 yang hadir dengan spesifikasi yang lebih rendah.

Redmi Note 8 Pro dilengkapi skrin 6.53″ IPS LCD, dijana cip MediaTek Helio G90T, memori sehingga 8GB, storan sehingga 128GB, kamera utama 64+8+2+2 Megapixel, kamera hadapan 20-Megapixel dan bateri sebesar 4500 mAh. Sistem kamera utama yang digunakan menyokong lensa sudut lebar, sudut ultra lebar, pengesan kedalaman dan makro sahaja.

Sementara itu bateri pula mengecas dengan output 18W menerusi porat USB-C. Ia juga mempunyai ketahanan kalis percikan air IP52 serta masih mengekalkan penggunaan bicu audio 3.5mm pada bahagian bawah peranti.

Redmi Note 8 dilengkapi skrin 6.53″ IPS LCD, dijana cip Snapdragon 665, memori sehingga 6GB, storan sehingga 128GB, kamera utama 48+8+2+2 Megapixel, kamera hadapan 20-Megapixel dan bateri sebesar 4000 mAh. Sistem kamera utama yang digunakan adalah sama seperti Note 8 Pro cuma dengan sensor bersaiz lebih kecil. Ia juga menyokong pengecasan 18W dan dilengkapi bicu audio 3.5mm.

Pengimbas cap jari fizikal terletak pada bahagian belakang peranti pada Note 8 dan Note 8 Pro. Akhir sekali Redmi Note 8 Pro dijual pada harga bermula RMB 1399 (~RM825) manakala Note 8 pula dijual pada harga bermula RMB 999 (~RM590) sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd