Lego mula menjual set bongkah permainan plastik sejak 1947 dan sehingga kini telah berjaya menjual hampir 1 trilion bongkah. Bagi peminat, apa yang membuatkan Lego menarik ialah proses membina set dengan membaca panduan yang disertakan. Panduan yang disertakan unik kerana tidak mengandungi sebarangan arahan bertulis tetapi kesemuanya dalam bentuk grafik yang mudah difahami.
Tetapi ini mengakibatkan OKU penglihatan terpinggir dari memasang set Lego yang dibeli. Menyedari masalah ini Lego dan Lego Foundation mengumumkan ujian menghasilkan panduan membina set permainan dalam versi audio dan Braille. Kecerdasan buatan digunakan untuk menterjemah data LXFML yang digunakan oleh Lego untuk membina panduan sebelum ini. Ini adalah projek kedua Lego selepas Braille Bricks yang juga membantu golongan OKU penglihatan pada April lalu.
Projek ini mengambil inspirasi dari projek LegoForTheBlind yang diusahakan oleh Matthew Shifrin. Shifrin dilahirkan buta dan menghasilkan panduan membina Lego menggunakan Braille atas usaha sendiri.
Ujian akan dilakukan oleh Lego dari 29 Ogos hingga 31 Disember. Empat set dengan panduan audio dan Braille ditawarkan buat masa ini. Ia boleh diakses secara percuma pada laman LegoAudioInstructions.com.