Counterpoint Research sering hadir dengan pelbagai analisa berkaitan pasaran peranti mudah-alih. Terbaru, mereka telah menerbitkan kajian terbaru mereka, memfokuskan kepada kemaskini Android oleh para pengeluar peranti.
Melalui laporan yang dikeluarkan, ia memperlihatkan Nokia mendahului pelbagai pengeluar peranti lain dalam penawaran kemaskini untuk peranti mudah-alih mereka.
Daripada apa yang dipertontonkan, hampir 96% daripada peranti Nokia yang dijual sejak suku ketiga 2018 yang lepas telah menerima kemaskini Android Pie terbaru, dan diikuti oleh Samsung sebanyak 89%, Xiaomi pada 84%, dan Huawei pada 82%.
Untuk makluman, sejumlah peranti Nokia hadir dibawah program Android One yang menjanjikan kemaskini selama dua tahun – sekaligus membuatkan laporan baru ini tidak begitu mengejutkan.
Pada masa yang sama, ia juga agak menarik untuk melihat pelbagai pengeluar lain turut memfokuskan kepada kemaskini Android terbaru – sekaligus memastikan para pengguna terus dilindungi daripada ancaman sekuriti terbaru, dan tidak ketinggalan dalam menikmati pelbagai ciri-ciri baru pada peranti.
Bagi anda sendiri, apakah peranti yang anda gunakan, dan apakah versi Android pada peranti anda?