Pandang Pertama: Black Shark 2 Pro – Telefon Pintar Gaming Paling Mantap?

Pandang Pertama: Black Shark 2 Pro – Telefon Pintar Gaming Paling Mantap?

Diterbitkan pada Sep 3, 2019 oleh .

Sebentar tadi Black Shark 2 Pro telah pun dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Tetapi persoalannya apakah perbezaan paling ketara antara Black Shark 2 dan Black Shark 2 Pro, dan yang mana satukah yang paling berbaloi?

Di makmal ujian Amanz, kami telah menguji Black Shark 2 Pro sekitar satu minggu. Sepanjang satu minggu penggunaan ini, banyak perkara menarik yang kami temui pada peranti ini yang menjadikan ia berbaloi untuk dimiliki. Baik dari menggunakannya sebagai alat menstrim video dan muzik atau mesin bermain permua – ia adalah satu peranti yang memuaskan. Apakah pendapat kami? Mari baca artikel pandang pertama ini.


Spesifikasi

Seperti yang anda tahu, Black Shark 2 Pro adalah peranti Snapdragon 855 Plus pertama dalam Malaysia (begitu juga Black Shark 2, Snapdragon 855). Peranti lain entah bila agaknya akan dilancarkan secara rasmi, masih tiada berita lagi. Unit yang kami gunakan ini mempunyai memori 8/128 GB dan berwarna Gulf Blue. Kamera utama adalah gabungan dua lensa 48MP dan 13MP, manakala kamera swafoto adalah 20MP.

Skrin peranti ini adalah 6.39-inci AMOLED, resolusi FHD+, dan mempunyai teknologi sentuhan skrin 240Hz touch sensing. Rekaan panel belakang adalah lebih kemas, jika dibandingkan dengan Black Shark 2. Masih kekal dengan jalur LED RGB di kedua-dua sisi peranti dan pada logo Black Shark. Pembesar suara adalah jenis stereo dan diletakkan pada bahagian hadapan, bateri 4000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 27W.

Bermain Permua

Permua kegemaran saya yang kerap saya mainkan untuk menguji peranti-peranti Android adalah PUBG Mobile dan Asphalt 9. Untuk bermain permua dengan pengalaman yang membuatkan kita ‘lupa dunia’ adalah melalui ‘Game Space’. Untuk mask ke mod ini, butang slider pada sisi perlu diaktifkan. Kemudian akan terpapar senarai permua dan juga pelbagai tetapan.

Antara mod yang paling dahsyat adalah mod Ludicrous, yang mana boleh melewahjam GPU dan CPU pada tahap maksima. Kemudia dalam Game Studio pula, terdapat tetapan skrin untuk menjadikannya HDR, menambahkan lagi kelancaran sentuhan dan banyak lagi. Saya lebih gemar menggunakan Level 4, kerana banyak kawalan yang boleh dilakukan. Mod Ludicrous terhad kepada beberapa tetapan sahaja. Rakaman skrin juga boleh dilakukan dengan mudah dan yang paling menarik adalah bermain permua tiada gangguan.

Permua seperti PUBG Mobile, mempunyai sokongan Master Touch yang baik. Apabila menekan butang untuk menembak, getaran semakin kuat dan rasa seronok untuk bermain. Sudah tentu bermain dalam jangka masa yang panjang tiada masalah. Tiada masalah peranti memanas, tiada lengah masa dan jangka hayat bateri juga baik. Perkara ini adalah tidak mustahil dengan sistem penyejukan cecair terbina. Kemudian sistem storan dalaman adalah berasaskan UFS3.0, jadi buka/tutup/tukar aplikasi adalah pantas. Pembesar suara stereo memberikan impak yang serius ketika bermain permua. Walaupun tidak sehebat peranti Razer atau OnePlus 7 Pro, pengalaman bermain tetap mengasyikkan.

Ketahanan Bateri

Saya tidak jadikan peranti ini sebagai peranti harian saya. Tetapi gabungan menstrim Netflix dan bermain permua agak baik. Tiada masalah untuk mencapai SOT sekitar 7-9 jam. Saya uji dengan unit import terlebih dahulu dan baru menukar ke unit global. Jadi, ketahanan bateri mungkin berbeza. Pengecasan pantas adalah 27W yang disediakan dalam kotak, yang mana cukup untuk mengecas peranti sehingga penuh kurang 2 jam.

Menstrim Video

Peranti ini bukan sahaja sesuai untuk bermain permua, tetapi juga sesuai dijadikan sebagai alat menikmati media. Saya lebih banyak gunakan peranti ini untuk menstrim Netflix, kerana ia mempunyai teknologi Super cinema mode. Dengan mod ini ia menggunakan kecerdasan buatan untuk jadikan semua kandungan video kepada kadar 60Hz. Pada awalnya, agak menyakitkan mata kerana tidak selesa, tetapi selepas beberapa hari ia menjadi perkara biasa. Ia juga boleh mengoptimasikan kandungan video menjadi HDR dan DC Dimming untuk mereka yang mudah pening kepala apabila skrin berkelip.

Beza Snapdragon 855 vs Snapdragon 855 Plus

Disebabkan terdapat mod permua seperti Game Space, perbezaan prestasi sukar untuk dirasai. Disebabkan Snapdragon 855 Plus dilewahjam sedikit berbanding Snapdragon 855, jadi jangka hayat bateri secara teori akan lebih kurang – tetapi dengan bantuan perisian dan teknologi terkini, Snapdragon 855 Plus adalah lebih efisien.

Kamera

Ini adalah peranti yang memfokuskan 100% pada permua dan prestasi keseluruhan. Jadi janganlah mempunyai harapan yang tinggi untuk mempunyai kualiti kamera setanding OnePlus 7 Pro, Mi 9 atau Galaxy Note 10. Ia mempunyai hasil imej yang agak baik dan memuaskan. Lihat beberapa sampel di bawah ini;

This slideshow requires JavaScript.

Berbaloi atau tidak?

Jika anda sudah memiliki Black Shark 2, Black Shark 2 Pro bukan untuk anda. Ia adalah untuk mereka yang ingin bermain permua semata-mata dan tidak ada fokus lain. Peranti ini juga merupakan alternatif kepada peranti seperti ROG Phone 2 yang dijangka harga pasaran rasmi melebihi RM3K. Pendapat peribadi saya, peranti seperti OnePlus 7 Pro sudah lebih dari cukup – mahal? Nubia Red Magic 3 adalah lebih berbaloi, siap ada kipas terbina lagi.

Apa-apa pun, anda adalah pengguna bijak – jadi membeli peranti adalah duit anda dan pasti anda mampu memilih peranti terbaik.


TIPS & ULASAN