Seperti laporan yang kami terbitkan sebelum ini, kemas kini Android 10 mula diberikan kepada peranti Pixel, Essential dan Redmi K20 Pro. Versi sistem operasi terkini ini ialah yang pertama sejak Android 1.1 yang tidak menggunakan nama pencuci mulut. Ini juga merupakan kali pertama peranti selain Pixel menerima kemas kini pada hari pertama versi akhir dilancarkan oleh Google.
Menerusi Android 10, tema gelap menyeluruh, kawalan privasi aplikasi yang lebih mendalam, sistem gesture baharu, Smart Reply, Focus Mode, fungsi Live Caption dan banyak lagi diperkenalkan. Kesemua model Pixel disahkan menerima Android 10 tetapi secara berperingkat bermula dengan Pixel 3 dan 3a hari ini.
Essential Phone pula akan menerimanya bermula hari ini mengikut pasaran. Sementara itu pengguna Redmi K20 Pro di China dan India adalah yang terawal menerima Android 10 dengan pelancaran MIUI 10. Bagi pengguna peranti-peranti yang kami senaraikan ini, selamat mencuba sistem operasi terkini anda.