Carian
Siri Acer ConceptD Pro Menerima Sentuhan Profesional Dan Spesifikasi Lebih Berkuasa
September 4, 2019 Nazrin

Beberapa bulan dahulu, Acer telah memperkenalkan siri komputer ConceptD, dimana ia merupakan siri komputer riba, desktop dan juga paparan skrin yang direka khusus untuk mereka yang bekerja didalam industri rekaan.

Walaupun siri komputer ini belum dilancarkan secara secara rasmi, Acer telah melancarkan siri ConceptD terbaru mereka di acara Global Press Conference Berlin melalui siri ConceptD Pro. Sama seperti peranti-peranti ConceptD sebelum ini, peranti-perantinya terdiri daripada ConceptD 9 Pro, ConceptD 7 Pro, ConceptD 5 Pro dan ConceptD 3 Pro.

ConceptD 9 Pro

ConceptD 9 Pro boleh dikatakan model paling premium diantara kesemua peranti ConceptD yang ada sekarang. Rekaannya diambil daripada peranti Predator Triton 900 dimana ia hadir dengan paparan bersaiz 17.3 inci dengan paparan skrin sesentuh 4K yang disahkan Pantone dan merangkumi 100 peratus daripada gamut warna Adobe RGB dengan kejituan warna Delta < 1.

Dari segi spesifikasi dalaman, ConceptD 9 Pro ini hadir dengan spesifikasi CPU sehingga Intel Core i9 generasi kesembilan dan kad grafik NVIDIA Quadro RTX 5000 yang baru diumumkan di acara Computex Taipei beberapa bulan yang lalu.

Satu lagi ciri menarik pada ConceptD 9 Pro ini ialah ia juga hadir dengan pena stylus Wacom EMR yang mempunyai 4096 tahap tekanan yang boleh membuatkan lukisan pengguna lebih tepat.

ConceptD 7 Pro

Bagi mereka yang inginkan sebuah peranti berkuasa yang mudah dibawa kemana-mana, ConceptD 7 Pro mungkin untuk anda. Ia dilengkapi dengan paparan bersaiz 15.6 inci dengan resolusi 4K, dan dikuasakan oleh CPU Intel Core i7 generasi ketujuh, bersama-sama dengan kad grafik NVIDIA RTX Quadro 5000.

Walaupun ia hadir dengan komponen-komponen berkuasa ini, keunikan peranti ConceptD 7 Pro ini ialah ia hadir dengan rekaan yang cukup nipis dengan ketebalan 15.9mm sahaja, dan mempunyai berat 2.1kg, membuatkannya sebuah komputer riba produktiviti profesional yang mudah dibawa kemana-mana.

Ia juga hadir dengan ciri ConceptD Palette, sebuah perisian yang membolehkan pengguna menukar profil warna mengikut kesesuaian mereka dengan mudah. Sama seperti ConceptD 7 Pro, ConceptD 5 Pro ini juga hadir dengan pentarafan Pantone, rangkuman 100 peratus warna Adobe RGB dan kejituan warna Delta E < 1.

ConceptD 5 Pro

ConceptD 5 Pro hadir dengan pilihan untuk mereka yang inginkan sebuah peranti yang boleh dibawa keluar ataupun digunakan sebagai pengganti desktop yang berkuasa.

Peranti ini hadir dengan pilihan paparan 15.6 dan 17 inci, dan pengguna boleh memilih untuk mendapatkan paparan beresolusi Full HD ataupun 4K jika diperlukan.

Dari segi spesifikasi dalaman pula, sama seperti ConceptD 7 Pro, ia dilengkapi dengan CPU Intel Core i7 generasi kesembilan dan kad grafik NVIDIA RTX Quadro 3000.

Sama seperti peranti-peranti sebelum ini, ia juga hadir dengan pentarafan Pantone, rangkuman 100 peratus gamut warna Adobe RGB dan delta E < 1.

ConceptD 3 Pro

Bagi pekerja bebas (freelancer), studio kecil ataupun pelajar, Acer turut memperkenalkan peranti ConceptD 3 Pro yang hadir sebagai peranti “mampu milik” didalam siri ini.

Dilengkapi dengan paparan skrin 15.6 inci, ConceptD 3 Pro ini dilengkapi dengan CPU Intel Core i7 generasi kesembilan dan juga kad grafik NVIDIA Quadro T1000.

Jika peranti-peranti sebelum ini memfokuskan kepada pereka industri dan mereka yang memerlukan kuasa pemprosesan grafik untuk pelbagai tugas berat, ConceptD 3 Pro ini memfokuskan kepada golongan pelajar, jurugambar profesional, dan juga generasi YouTuber dan Twitch yang memerlukan sebuah mesin yang boleh digunakan untuk tujuan penstriman,

Kesemua komputer riba ConceptD Pro ini akan tiba di pasaran EMEA pada bulan-bulan berikut:

  • ConceptD 9 Pro/7 Pro/3 Pro – November 2019
  • ConceptD 5 Pro – Oktober 2019
Komen