Mod tema gelap kini menjadi tular. Bagi pengguna yang menggunakan peranti dengan skrin OLED, ia boleh menjimatkan bateri. Untuk peranti yang menggunakan skrin LCD, ia hanya memberika keselesaan kepada pengguna. Sudah banyak perisian dan aplikasi menyokong mod ini, tetapi sehingga hari ini WhatsApp masih belum memperkenalkannya lagi.
Kini, seorang pembangun bebas telah hadir dengan mod tema gelap untuk WhatsApp versi desktop. Perisian mod ini menggunakan arahan melalui terminal seakan CMD dan mengubah antaramuka perisian rasmi WhatsApp untuk desktop. Warna tema gelap yang digunakan adalah biru gelap dan bukannya hitam biasa atau hitam OLED. Jadi ia lebih kepada rekaan dan keselesaan mata pengguna sahaja.
Untuk menggunakannya, pengguna perlu mempunyai perisian WhatsApp versi desktop sedia terpasang pada Mac atau Windows. Kemudian jalankan perisian yang disediakan pembangun dan tunggu sahaja aplikasi WhatsApp desktop dilancarkan semula secara automatik.