Siri komputer riba gaming Acer Predator Triton biasanya dikaitkan dengan rekaan nipis dan ringan yang digabungkan bersama-sama dengan spesifikasi gaming yang sangat berkuasa.
Di acara Acer GPC di Berlin, Acer telah memperlihatkan peranti siri Triton terbaru mereka, iaitu Acer Predator Triton 300, yang mengekalkan rekaan ikonik Triton, tetapi hadir dengan spesifikasi gaming yang lebih sederhana.
Bermula dengan paparan skrin, komputer riba Triton 300 ini hadir dengan paparan skrin bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz pada Triton 500. Ia juga mengekalkan bingkai nipis yang diperlihatkan pada peranti tersebut, yang memberikannya rupa yang agak elegen.
Beralih kepada spesifikasi dalaman. komputer riba Triton 300 ini dilengkapi dengan CPU Intel Core i7 generasi kesembilan, memori DDR4 sebanyak 16GB dan storan SSD PCIe dalam konfigurasi RAID sehingga 2TB, bersama-sama cakera keras yang juga mempunyai storan sehingga 2TB.
Dari segi grafik, Predator Triton 300 ini dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1650 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan pelbagai permainan moden pada resolusi Full HD hari ini.
Menyejukkan komponen-komponen Triton 300 ini pula ialah kipas penyejuk Aeroblade 3D generasi keempat yang mengalirkan haba ke lubang-lubang udara yang terletak di sekitar rangka komputer riba ini.
Ini digabungkan dengan pengalir haba eksklusif Acer yang dinamakan Predator Power Gem menggunakan teknik vapor chamber yang mengalirkan haba daripada CPU dengan lebih cekap. Hasilnya ialah suhu komputer yang lebih rendah dan juga prestasi perkomputeranyang lebih tinggi daripada model-model sebelum ini.
Sama seperti komputer riba Triton yang lain sebelum ini, Triton 300 ini hadir dengan rekaan yang ringan. Pada berat 2.3kg sahaja, ia boleh dibawa kemana-mana dengan mudah, dan boleh digunakan untuk pelbagai jenis aktiviti, tidak kira kerja ataupun riadah.
Komputer riba Predator Triton 300 ini cukup sesuai sekali untuk mereka yang inginkan sebuah komputer riba gaming yang nipis dan ringan untuk dibawa kemana-mana dan rekaan minimalis yang tidak terlalu menjolok mata.
Menurut Acer, komputer riba Predator Triton 300 ini akan memasuki pasaran EMEA pada bulan Oktober kelak.