Cari @ Amanz

Di acara Acer GPC tahun lepas di Berlin, Acer memperlihatkan sebuah projek yang sangat unik yang dinamakan Acer Predator Thronos. Projek ini merupakan sebuah kerusi gaming yang dilengkapi dengan pelbagai pemegang dan lengan yang digunakan untuk merumahkan sebuah komputer, paparan-paparan skrin dan kelengkapan-kelengkapan gaming yang lain.

Di acara Acer GPC tahun ini, Acer memperkenalkan Acer Predator Thronos Air, iaitu sebuah kemaskini kepada “kubu gaming” Predator Thronos sebelum ini.

Rekaan Predator Thronos Air dikemaskan sedikit, tetapi kebanyakan fungsi utamanya, seperti sokongan untuk tempat penyimpanan komputer, lengan pemegang untuk tiga paparan skrin 27 inci dan tempat menyimpan aksesori kebanyakannya masih sama.

Diantara kemaskini baru yang dapat diperlihatkan pada kubu gaming ini termasuklah satu tempat untuk meletakkan kamera web untuk tujuan penstriman, sebuah tempat letak kaki untuk kestabilan pengguna, dan satu pemegang untuk memudahkan pengubahsuaian kedudukan paparan secara manual.

Ciri terbaru paling menarik yang diperkenalkan pada Predator Thronos Air ini ialah ciri mengurut yang akan meregangkan otot-otot gamer jika mereka bermain permainan komputer didalam kubu ini untuk satu jangkamasa yang lama.

Seperti kerusi Predator Thronos sebelum ini, pengguna diberi pilihan untuk mendapatkan salah satu daripada komputer siri Predator Orion untuk menguasakan kubu ini.

Kubu gaming Acer Predator Thronos Air ini akan tiba di pasaran EMEA pada suku keempat tahun ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd