Siri komputer riba Acer Swift cukup terkenal untuk rekaannya yang serba nipis dan ringan, spesifikasinya yang berkuasa dan daya ketahanan bateri yang sesuai untuk seorang pekerja pejabat melakukan tugasan sehariannya tidak kira dimana mereka berada.
Di acara Acer GPC yang baru sahaja berlangsung, Acer memperkenalkan kemaskini terbaru mereka untuk siri komputer riba ini, yang terdiri daripada komputer riba Acer Swift 3 dan Acer Swift 5.
Bermula dengan Acer Swift 5, Acer mengatakan bahawa model ini masih lagi komputer riba 14 inci yang paling ringan di dunia. Seperti yang dinyatakan, ia mempunyai paparan skrin sesentuh bersaiz 14 inci dengan resolusi Full HD yang mempunyai bingkai yang sangat nipis, dimana paparan tersebut mengambil 86.4 peratus daripada saiz keseluruhan paparan tersebut.
Dari segi spesifikasi dalaman pula, Swift 5 ini dilengkapi dengan CPU Intel Core i7-1065G7 terbaru, memori DDR4 sebanyak 16GB dan storan SSD PCIe sebanyak 512GB. Bukan itu sahaja, Swift 5 ini turut hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce MX250 2GB yang membantu meningkatkan lagi prestasi komputer riba yang serba nipis dan ringan ini.
Dengan penggunaan CPU Intel generasi kesepuluh Ice Lake ini, komputer Swift 5 ini turut hadir dengan sokongan untuk teknologi-teknologi terbaru seperti WiFi 6 dan juga palam-palam USB 3.1 yang juga merupakan palam Thunderbolt 3.0.
Acer mengekalkan penggunaan bahan aluminum, magnesium dan lithium untuk rangka komputer riba Swift 5 ini, dan dengan kemaskini terbaru komputer riba ini, Acer masih mengekalkan berat komputer riba dibawah 1kg pada 990g sahaja, dan ini membuatkan komputer riba Swift 5 ini sebagai salah satu komputer riba 14 inci paling ringan di pasaran.
Beralih kepada komputer riba Swift 3, komputer riba ini juga adalah salah satu daripada komputer riba 14 inci paling ringan di pasaran, dengan berat 1.19KG sahaja.
Dari segi spesifikasi dalaman, Swift 3 dilengkapi dengan CPU Intel Core i7-1065G terbaru dengan cip pemprosesan grafik Iris Plus terbina di dalam, dan juga pilihan untuk menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce MX250 jika diperlukan. Sama seperti Swift 5, komputer riba ini juga hadir dengan pilihan memori DDR4 sehingga 16GB, dan juga storan SSD PCIe sebesar 512GB.
Sama seperti Swift 5, komputer riba Swift 3 ini juga hadir dengan teknologi-teknologi terkini seperti WiFi 6 dan juga Thunderbolt 3.0. Lebih menarik lagi, Acer turut mengatakan bahawa Swift 3 terbaru ini mempunyai jangkahayat bateri yang cukup panjang pada 12.5 jam, dan untuk pengecasan selama 30 minit, pengguna boleh menggunakan komputer riba selama empat jam.
Acer turut membuat pengumuman bahawa komputer-komputer riba Acer Swift 5 dan Swift 3 ini akan tiba di pasaran EMEA bermula pada bulan September ini.