Menjadi kebiasaan pada hari ini, dimana gambar sesuatu peranti hadir tertiris ke arena web lebih awal daripada pelancaran rasmi telefon pintar berkenaan. Terbaru, dengan Huawei menjadualkan pelancaran Huawei Mate 30 Pro pada pertengahan bulan ini, imej pengolokkan untuk peranti berkenaan kini hadir tertiris ke arena web.
Dikongsikan oleh @onleaks melalui PriceBaba, gambar pengolokkan Huawei Mate 30 Pro dipertontonkan – sekaligus memperlihatkan kemungkinan rekaan akhir telefon pintar mercu berkenaan.
Ia menunjukkan Huawei Mate 30 Pro akan mengekalkan penggunaan takuk dihadapan, selain mana penyertaan empat kamera dibelakang yang diposisikan pada bahagian tengah dalam bulatan khusus.
Huawei Mate 30 Pro juga dijangka akan menyertakan tri-kamera dibahagian hadapan untuk rakaman swafoto yang cantik – apatah lagi dengan trend Stories di laman sosial hari ini yang memerlukan kamera swafoto yang cantik.
Imej pengolokkan ini juga memperlihatkan tiada butang kawalan suara, sekaligus memperlihatkan Huawei mungkin memperkenalkan sesuatu yang baru untuk tujuan berkenaan.
Huawei bakal melancarkan Huawei Mate 30 Pro pada 19 September ini, dimana kita akan melihat sendiri apakah kejutan yang disediakan oleh Huawei melalui telefon mercu mereka yang terbaru ini.