Cari @ Amanz

Pengecas nirwayar adalah sejenis pengecas yang boleh mengecas peranti yang menyokongnya. Tetapi ia hanya berfungsi sebagai pengecas dan tiada fungsi lain. Antara pengecas nirwayar yang ada fungsi lain adalah Pixel Stand, yang mana boleh menjadikan Pixel 3 sebagai album digital dan paparan pintar Google Assistant – itu sahaja.

Bagaimana kalau saya katakan yang ada pengecas nirwayar, yang bukan sahaja boleh mengecas peranti anda tetapi juga membuat sandaran foto dan video anda terus ke pengecas tersebut? Memperkenalkan SanDisk iXpand Wireless Charger. Pengecas nirwayar dari SanDisk ini mampu mengecas peranti seperti iPhone 8 ke atas dan mana-mana peranti yang menyokong pengecasan nirwayar 10W sambil membuat salinan foto dan video anda pada storan dalaman terbina pada pengecas tersebut.

Sebaik sahaja peranti diletakkan pada pad pengecasan, foto dan video akan disandarkan secara automatik. Ia menggunakan WiFi untuk membuat sandaran dan terdapat aplikasi iOS atau Android untuk pengguna mengawal dan membuat tetapan. Ia juga boleh membuat profil secara automatik. Contohnya anda memiliki dua peranti atau anda kongsi pengecas nirwayar ini bersama yang tersayang – ia akan mengasingkan profil sandaran mengikut peranti.

SanDisk iXpand Wireless Charger terdapat tiga variasi, iaitu 64GB, 128GB atau 256GB. Harga jualan bagi 64GB masih tidak diketahui kerana jualannya adalah terhad kepada beberapa negara sahaja. Jika ada pun sudah kehabisan stok. Bagi variasi 128GB ia dijual pada harga £90 (~RM462) dan variasi 256GB dijual pada harga £130 (~RM667).

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd