Cari @ Amanz

Dalam pemilihan komputer riba saiz dan berat adalah dua faktor utama. Bagi golongan perniagaan berat mungkin dilihat lebih penting kerana komputer riba perlu dibawa sepanjang masa dan boleh memberatkan bagasi apabila menaiki pesawat. Bagi golongan ini AsusPro B9 (B9450)  telah diumumkan di IFA semalam sebagai komputer riba perniagaan paling ringan di dunia. Ia adalah model kemas kini kepada AsusPro B9440 yang dilancarkan dua tahun yang lalu dengan berat hanya 1.04 kg.

Dengan hanya seberat 880 gram sahaja, ia adalah hanya 200 gram lebih berat berbanding tablet iPad Pro 12.9 inci. Ia masih dilengkapi skrin sebesar 14″ dengan rekaan NanoEdge yang mempunyai bingkai yang amat nipis. Menjananya pula ialah ialah pemproses Intel Core i7 generasi ke-10 Ice Lake yang terkini. Bagi yang memerlukan storan, ia hadir dengan storan sehingga 2TB SSD PCIe manakala bateri pula sebesar 33Wh. Saiznya agak kecil tetapi menerusi teknologi Project Athena yang disertakan pada cip Intel terkini yang digunakan, ia mampu berfungsi sehingga 9 jam dengan sekali caj,

Bahan aloi magnesium digunakan bagi mengurangkan berat. Sungguhpun nipis dan ringan, Asus mengatakan AsusPro B9 masih melepasi ujian ketahanan tahap ketenteraan MIL-STD 810G . Akhir sekali terdapat sokongan WiFi6, sistem imbasan wajah Windows Hello, HDMI, USB-A dan port USB-C Thunderbolt 3. Kewujudan kesemua port amat mengejutkan bagi sebuah komputer riba yang hanya setebal 14.9 mm.Harga dan tarikh jualan masih belum diumumkan pada waktu ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd