Android 10 adalah nama rasmi bagi Android Q. Google tidak lagi menggunakan nama pencuci mulut, kerana pencuci mulut tidak ramai yang mengenalinya dan ada pencuci mulut yang tidak terdapat di negara-negara pengguna Android. Contohnya, nama Android Q sepatutnya adalah Queen Cake – iaitu sejenis kek lembut bersaiz muffin. Siapa sahaja yang tahu? Tetapi, penjenamaan dengan nombor – ia lebih universal dan lebih dikenali ramai.
Dalam Android 10 juga Google telah memperkenalkan lebih banyak fungsi menarik seperti kawalan privasi, kebenaran lokasi yang lebih baik dan juga kemampuan mengubahsuai yang lebih banyak. Antara yang paling menarik adalah mod gelap. Ya, ia bukan lagi tema gelap kerana mod ini diaplikasikan kepada keseluruhan sistem dan bukan sahaja antaramuka. Dalam artikel ini, akan saya kongsi sepuluh perkara menarik dalam Android 10. Perlu diingatkan yang kesemua 10 perkara menarik ini adalah berdasarkan Android 10 yang asli yang dijalankan pada Pixel 3a XL.
1. Mod Gelap
Akhirnya selepas ramai nanti-nantikan, dalam Android Q mod gelap telah diperkenalkan secara rasmi dan ianya stabil untuk digunakan. Mod gelap pada Android 10 ini terdapat dua jenis, satu adalah tema yang mana ia akan mengubah beberapa aplikasi Google kepada tema yang gelap. Warnanya adalah kelabu gelap dan lebih mesra untuk digunakan pada kesemua peranti Android jika mod gelap diaktifkan. Kemudian adalah mod gelap sebenar, yang mana ia diaplikasikan kepada keseluruhan sistem.
Mod gelap sebenar ini menggunakan warna hitam legam, jika peranti pengguna menggunakan skrin OLED. Jika skrin LCD, ia akan berwarna hitam yang tidak begitu gelap. Dengan mod gelap ini warna akan kurang digunakan, lebih-lebih lagi warna putih. Menurut Google, ia bukan sahaja akan memberi keselesaan mata pengguna tetapi turut akan menjimatkan bateri peranti.
Untuk mengaktifkan mod gelap ini, pergi ke tetapan > Display > aktifkan ‘Dark Theme’. Itu sahaja dan semua aplikasi yang menyokong turut akan berubah secara automatik. Menurut Google, GMail, Google Maps dan beberapa aplikasi Google lain turut akan menerima sokongan ini dalam masa akan datang.
2. Kawalan Gestur Baharu
Dengan Android 10, Google telah membuang butang kembali secara deafult. Ia kini menggunakan kawala gestur penuh seakan iPhone X dan MIUI. Apabila gestur tidak digunakan, navigasi untuk kawalan gestur akan disembunyikan secara automatik. Kemudian apabila gestur mula digunakan, ia akan terpapar semula. Pada navigasi kawalan gestur ini juga, pengguna boleh tatal kiri atau kanan untuk bertukar-tukar antara aplikasi ke aplikasi.
Untuk kembali ke aplikasi lain atau laman yang sebelumnya, tatal sahaja dari hujung peranti ke kiri atau ke kanan. Akan terdapat ikon kembali muncul memberitahu yang anda sedang membuat kawalan navigasi kembali. Menariknya, Google mewajibkan semua peranti Android menetapkan kawalan gestur seperti ini sebagai default dalam peranti Android dan kawalan gestur tersendiri setiap pengeluar peranti adalah kawalan gestur pilihan.
Bukan itu sahaja, bagi yang tidak gemar menyeru Google Assistant degan menyebut “Hey, Google” atau “Okay, Google” – Google kini telah menambah kawalan gestur untuk mengakses Google Assistant dalam Android 10. Ia boleh diakses dengan tatal dari bucu bawah peranti ke atas secara menyenget. Perkara ini dilihat memudahkan pengguna lain. Bagi pengguna Pixel, cara mudah lain adalah dengan memicit peranti sahaja.
3. Focus Mode
Semasa Android Pie dilancarkan tahun lepas, Digital Wellbeing telah diperkenalkan. Ia adalah satu aplikasi sistem dalam Android asli untuk mengawal ketagihan pengguna terhadap penggunaan peranti. Digital Wellbeing ini semakin lama, semakin baik dengan pelbagai penambahan fungsi. Dalam Android 10, Google telah menambah Focus Mode.
Dengan Focus Mode kawalan terhadap penggunaan aplikasi adalah lebih dahsyat. Pengguna boleh menjeda aplikasi sementara. Apabila aplikasi yang dipilih telah dijeda, ia tidak boleh dibuka langsung dan notifikasi juga tidak akan diterima. Namun, pengguna boleh matikan sahaja Focus Mode ini pada bila-bila masa sahaja. Jika anda tertanya apa gunanya kalau dengan beberapa langkah mudah sahaja boleh matikan Focus Mode?
Ia adalah disiplin diri! Jika anda sedang bekerja, banyak tugasan atau sedang beribadah – anda pilih sahaja aplikasi-aplikasi yang kerap anda buka atau terima notifikasi dan tetapkan dalam Focus Mode. Jadi, anda boleh fokus sepenuhnya tanpa sebarang gangguan. Tetapi jika anda tiada disiplin diri, fungsi ini tiada gunanya.
4. Family Link
Perkara lain yang ditambah dalam Digital Wellbeing pada Android 10 adalah Family Link. Family Link adalah aplikasi asing daripada Google untuk ibu bapa mengawal penggunaan peranti anak-anak mereka. Apa yang Google lakukan sebenarnya adalah akses lebih pantas.
Pada Digital Wellbeing dalam Android 10, Google menambah pintasan untuk mengakses aplikasi Family Link dengan lebih pantas. Ia turut memaparkan senarai pengguna/peranti anak-anak yang sedang dikawal. Seperti saya, saya gunakan Family Link untuk mengawal peranti adik saya yang sedang menduduki peperiksaan UPSR minggu ini.
5. Sound Amplifier
Sound Amplifier adalah fungsi untuk mereka yang kurang upaya. Ia sebahagian dari fungsi dalam Accessbility. Apa yang menarik dengan fungsi ini adalah, ia boleh menguatkan audio sekeliling pengguna dengan menggunakan mikrofon terbina pada peranti atau set fon telinga berwayar berasaskan bicu audio 3.5mm atau USB-C.
Walau bagaimanapun, pengguna wajib menggunakan set fon telinga bagi menggunakan fungsi ini. Fungsi ini bukan sahaja terhad untuk mereka yang kurang upaya, tetapi jika anda ingin mendengar dengan lebih jelas bunyi sekeliling – pun tiada masalah. Terdapat tiga tetapan utama; Sound, Noise dan Source. Dalam Sound, pengguna boleh melaras bunyi sekeliling melalui Boost untuk lebih kuat dan Fine Tuning untuk lebih jelas. Dalam Noise pula, pengguna boleh menapis bunyi hingar agar bunyi sekeliling lebih jelas dan Source pula adalah sumber mikrofon anda. Sama ada mikrofon dari set fon telinga atau mikrofon dari peranti.
Untuk mengakses ia agak mudah, selepas fungsi ini dihidupkan melalui tetapan – pengguna hanya perlu menggunakan dua jari dan tatal ke atas untuk mengaktifkannya.
6. Smart Reply & Suggested Actions
Jika pada Android Pie, Google sudah memperkenalkan banyak sistem kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin – dalam Android 10 ia menjadi semakin pintar. Kini, fungsi Smart Reply dan Suggested Actions telah menjadi stabil dan disokong pada banyak aplikasi.
Fungsi ini adalah seperti mana namanya diberi. Smart Reply mampu memberi cadangan teks atau emoji sebelum sesuatu mesej dibalas. Contohnya jika saya terima mesej “Where are you?”, saya akan terima cadangan seperti “At home”, “At work”, “Just got home” atau “I’m here 🛬”. Manakala, jika mesej yang saya terima adalah dalam bentuk pautan web atau lokasi, cadangan membuka web dan aplikasi Google Maps akan terpapar.
Smart Reply and Suggestion Actions ini dilihat berfungsi pada Google Messages, WhatsApp, Facebook Messenger, Hangouts dan sepatutnya mana-mana aplikasi permesejan.
7. Kawalan Privasi Lebih Mendalam
Jika anda pernah menggunakan iOS atau tahu kehebatan iOS, salah satunya adalah sekuriti dan privasi iOS adalah antara yang terbaik. Lebih-lebih lagi pada kebenaran akses lokasi. Dalam iOS, ia sesuatu aplikasi boleh mengakses lokasi sementara atau selamanya. Tetapi dalam Android hanya terdapat selamanya. Kini, dalam Android 10 – kawalan akses lokasi adalah lebih baik. Ia kini mempunyai pilihan jika ingin beri akses sementara atau selamanya, sebagaimana iOS berfungsi.
Untuk sekuriti pula, ia lebih kepada kebenaran mengakses data. Ia tidak sehebat lokasi. Tetapi kawalan kebenaran kini lebih jelas. Kemudian dalam tetapan Privacy, sudah terdapat sejarah aktiviti peranti Android dimasukkan. Ini bermakna, apa-apa akses yang dilakukan pada peranti boleh dilihat dalam papan pemuka sekuriti akaun Google dengan mudah.
8. Live Caption
Ini adalah antara fungsi yang paling unik dan menarik. Fungsi ini diberi nama Live Caption. Seperti namanya, ia adalah kapsyen secara langsung atau dengan kata lain adalah sari kata secara langsung. Buat masa ini, fungsi ini masih belum boleh digunakan kerana ia masih lagi dalam pembangunan.
https://www.youtube.com/watch?v=YL-8Xfx6S5o
Kenapa fungsi ini unik? Ini kerana, apa jua fail media yang anda mainkan baik video atau audio – tekan sahaja butang aras suara dan akan ada icon Live Transcribe terpapar untuk anda aktifkan fungsi ini. Secara automatik, fail-fail media yang anda mainkan akan mempunyai ‘sari kata’ secara langsung.
9. Kemaskini Sekuriti Melalui Play Store
Sejak bulan April lagi, Google telah menguji kemampuan kemaskini sistem diedarkan melalui Google Play Store. Selepas Android Q beta muncul, ia mula diperlihatkan pada beberapa peranti Pixel. Perkara ini tidak mustahil, kerana Google menggunakan teknologi daripada Project Mainline. Kenapa ia diwujudkan?
Jika Android asli adalah antara sistem operasi yang menerima kemaskini sekuriti terpantas, melalui kemaskini sistem di Play Store ini – ia diedarkan dengan lebih pantas dari biasa.
10. Kawalan Notifikasi Lebih Baik
Notifikasi kadangkala adalah perkara yang menjengkelkan. Lebih-lebih lagi emel atau WhatsApp Group. Jika menggunakan Focus Mode pada Digital Wellbeing, ia akan terus hentikan. Tetapi bagaimana jika kita masih ingin menerima notifikasi, tetapi dalam keadaan yang lebih terkawal?
Dalam Android 10, tetapan buat notifikasi kini menjadi lebih baik dan pengguna mempunyai banyak kawalan. Pengguna kini boleh membisukan sesuatu notifikasi dengan hanya tekan dan tahan pada notifikasi yang diterima dan pilih Silent atau matikan sahaja notifikasi. Pengguna juga boleh tekan butan gear dan lihat kawalan yang lebih banyak.
Jika tidak cukup dengan itu, dalam tetapan sistem bahagian Apps & notification terdapat lagi kawalan tambahan yang bebas dibuat oleh pengguna bagi tidak diganggu dan juga tidak terlepas apa jua notifikasi.
Jadi, itu adalah antara 10 perkara menarik dalam Android 10. Sayang sekali, kebanyakan fungsi ini hanya boleh dinikmati dalam Andorid asli sahaja yang dijalankan pada Pixel. Android One jika mula terima kemaksini Android 10, pasti akan ada kekurangannya – begitu juga dengan Oxygen OS pada peranti OnePlus. Apatah lagi dengan sistem operasi seperti MIUI, EMUI, OneUI, FuntouchOS dan lain-lain?
Banyak pengeluar sudah pun hadir dengan beberapa ciri Android 10 ini dalam versi mereka yang tersendiri. Mereka kebiasaannya lebih gemar menggunakan versi tersendiri. Cuma, dengan fungsi-fungsi baharu yang tiba dalam Android 10 ini – ini bermakna fungsi ini telah hadir dalam kod Android itu sendiri iaitu AOSP. Kelak di masa akan datang, jika pengeluar ingin hadir dengan fungsi-fungsi baharu sendiri mirip Android 10 akan menjadi lebih mudah.
Anda bagaimana? Peranti apakah yang anda gunakan dan adakah ia sudah menjalankan Android 10? Apa pula pendapat anda mengenai sistem operasi Android baharu ini?