Android dibangunkan sebagai sistem operasi yang fleksibel dan menyokong pelbagai platform. Ia mula dibangunkan untuk kamera digital, namun gagal. Jadi, sistem operasi Android digunakan buat pertama kalinya sebagai sistem operasi untuk sebuah telefon pintar. Sokongan sistem operasi Android tablet mula disertakan dalam Android 3.0 Honeycomb, yang mana ia membenarkan pembangun membangunkan aplikasi mereka agar menyokong pelbagai saiz peranti.
Kini, sudah terdapat 175 Juta tablet Android dengan Google Play Store terbina. Jumlah ini adalah termasuk dengan tablet Chrome OS, kerana ia turut mempunyai Google Play Store. Menurut Google, pengguna yang aktif menggunakan aplikasi Android pada Chrome OS meningkat sebanyak 250% tahun lepas. Kemudian dengan kehadiran Android 7.0 Nougat, sokongan multi-tetingkap, multi-paparan dan drag & drop antara aplikasi ke aplikasi telah disertakan. Secara tidak langsung menjadikan pengalaman penggunaan tablet Android, seakan menggunakan PC.
Android 10 sudah pun rasmi dan stabil. Sistem operasi ini akan menjadi lebih universal dan masa hadapan dijamin untuk semua jenis peranti. Ini kerana, Google telah menambah sokongan peranti boleh lipat dan penggunaan pada banyak paparan yang lebih baik. Dengan pengoptimasian seperti ini, pembangun dan pengguna akan menerima manfaat yang baik dalam pengalaman penggunaan yang lebih mengasyikkan.