Kemaskini Android 10 yang rasmi dan stabil telah pun diedarkan dua hari lepas kepada peranti yang menyokongnya. Antara peranti terawal menerima kemaskini ini, sudah tentu Pixel. Android 10 mempunyai banyak fungsi dan ciri menarik – seperti lebih memfokuskan kepada sekuriti dan privasi.
Terkini melalui Google Issue Tracker, XDA forum, dan forum Pixel Phone Help – ramai melaporkan yang Pixel 3 mempunyai masalah sensor selepa ia dikemaskini kepada Android 10. Antara masalah yang dihadapi adalah fungsi auto-rotate yang tidak berfungsi, kecerahan automatik yang tidak berfungsi, fungsi memiciti untuk seru Google Assistant (Active Edge) tidak boleh digunakan, tap-dua kali untuk bangunkan peranti atau juga angkat peranti untuk bangunkannya juga dilaporkan tidak berfungsi.
Kebanyakan masalah ini dilaporkan berlaku pada Google Pixel 3 XL. Menurut laporan, buat masa ini hanya menurun taraf sistem operasi dari Android 10 kepada Android 9.0 Pie sahaja yang dapat menyelesaikan isu ini. Bagi pembaca Amanz yang menggunakan Pixel 3 dan Pixel 3 XL, adalah anda mengalami masalah ini?