Huawei hari ini telah mengambil pentas utama pada acara IFA 2019, dan memperkenalkan cip pemprosesan terbaru mereka, iaitu Kirin 990.
Melalui Kirin 990, ia hadir menggunakan rekaan binaan berasaskan kepada 7nm EUV – sekaligus menawarkan prestasi yang lebih bagus dengan penggunaan tenaga lebih efisien. Seperti sebelum-sebelum ini, cip Kirin 990 turut mengintegrasikan sokongan NPU untuk pemprosesan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan.
Dari segi spesifikasi, ia menggunakan gabungan 2 teras Cortex-A76 2.86Ghz, 2 teras Cortex-A76 2.36Ghz, dan 4 teras Cortex-A55 1.95Ghz. Untuk sokongan grafik pula, cip ini menyertakan Mali-G76 GPU 16-teras – dan menjanjikan kuasa grafik pada permainan yang lebih baik berbanding Kirin 980 sebelum ini.
Kirin 990 ini akan hadir dalam pilihan 4G dan juga 5G, dan menariknya variasi 5G daripada Huawei ini turut hadir dengan sokongan SA – sesuai untuk rangkaian 5G masa akan datang, berbeza dengan pelbagai cip sedia ada yang menyokong piawaian NSA sahaja.
Kirin 990 juga menjanjikan kadar muat-turun sehingga 2.3Gbps, selain menawarkan sokongan rakaman video dan gambar yang baik, disamping kebolehan sokongan dwi-SIM.
Huawei dijangka menggunakan cip pemprosesan Kirin 990 ini pada Huawei Mate 30 akan datang yang dijangka diumumkan pada pertengahan bulan ini.