Carian
Jualan Piring Hitam Bakal Memintas Jualan CD Dalam Masa Terdekat
September 9, 2019 Effi Saharudin

Bilakah kali terakhir anda membeli album cakera padat dan piring hitam vinyl? Saya kali terakhir membeli CD pada tahun 2009 dan piring hitam pula sekitar 1998. Dengan perkhidmatan penstriman muzik, pembelian muzik dalam bentuk fizikal tidak lagi pada hemat kami sebuah pelaburan yang munasabah. Menurut laporan terkini RIAA, jualan piring hitam bakal memintas jualan CD buat pertama kali sejak 1986.

Pada seperah tahun pertama 2019, CD mencatatkan jualan $247.9 juta berbanding piring hitam yang mencatatkan jualan $224.1 juta. Jualan piring hitam meningkat 12.9% berbanding separuh masa yang sama tahun lalu manakala angka jualan CD pula hampir tidak berganjak. Sungguhpun begitu jualan album fizikal hanya menyumbang  kepada 9% pendapatan industri muzik tahun lalu dengan penstriman menggondol lebih 80%. Penstriman masih lagi utuh buat masa ini.

Piring hitam popular di kalangan anak muda yang inginkan kelainan dalam menikmati muzik mereka. Muzik analog dilihat lebih menarik berbanding muzik digital. Bagaimana pula dengan pembaca Amanz? Bilakah kali terakhir anda membeli album artis kegemaran dalam bentuk fizikal?

Komen