Cari @ Amanz

Volkwagen ID.3 dilancarkan hari ini di Pameran Kereta Frankfurt. Ia merupakan kenderaan pertama di dalam siri ID.3 yang dibangunkan sepenuhnya untuk menggunakan bateri. Ia adalah kesinambungan kepada usaha Volkwagen melancarkan kenderaan elektrik selepas e-Golf dan e-up!

ID.3 ditawarkan dengan tiga pilihan kapasiti bateri 45 kWh, 58 kWh dan 77 kWh. Versi dengan bateri paling besar memberikan jarak operasi sehingga 550 km manakala versi paling asas memberikan jarak operasi 330 km. Sistem pengecasan sehingga 100 kW disokong yang memberikan jarak operasi sehingga 290 km selepas pengecasan selama 30 minit.

Kenderaan ini dilengkapi motor elektrik pada tayar belakang yang memberikan kelajuan maksimum 160 km/j sahaja. Terdapat dua paparan LCD di dalam kabin dengan skrin utama di bahagian tengah sebesar 10 inci dengan sokongan sesentuh. Dari segi kemampuan audio pula, pembesar suara keluaran Beats digunakan.

Volkswagen ID.3 dengan kapasiti 45 kWh akan ditawarkan pada harga sekitar 30,000 Euro (~RM 138,000. Buat masa ini ia hanya akan ditawarkan dalam versi 58 kWh di Eropah pada harga 40,000 Euro (~RM184,000).

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd