Selain pengumuman berkaitan dengan perkhidmatan mereka, Apple hari ini turut memperkenalkan iPad terbaru mereka yang akan menggantikan iPad generasi ke-6 sebelum ini. iPad baru generasi ke-7 ini hadir dengan skrin 10.2-inci serta dijana dengan sistem operasi iPad OS terbaru.
Bersama-sama dengan skrin sedikit besar, ia juga turut menawarkan prestasi yang dikemaskini. iPad OS pada tablet ini turut memberikan lebih banyak kemudahan untuk membuat multi-tugasan.
iPad baru ini turut menyokong input dan penggunaan Apple Pencil padanya. Ini sekaligus menjadikan iPad generasi baru sebagai tablet produktiviti yang sangat berguna. Sambungan Smart Connecter untuk menyambungkan aksesori turut disertakan pada tablet ini.
Seperti dinyatakan oleh Apple sebelum ini, iPad generasi baru ini turut akan menyertakan langganan Apple TV+ selama setahun secara percuma.
Di Malaysia, iPad generasi ketujuh ini ditawarkan pada harga bermula RM1449 untuk versi WiFi, dan RM1999 untuk versi selular.