Cari @ Amanz

iPhone 11 dilancarkan pagi ini sebagai model pengganti kepada iPhone XR. Ia adalah peranti pertama Apple yang dilengkapi sistem dwi-kamera yang menggabungkan lensa sudut lebar dan lensa sudut ultra lebar. Akhirnya Apple akur dengan permintaan pengguna dan menyertakan fungsi yang diperkenalkan pada peranti Android sejak setahun yang lalu.

Apple iPhone 11 dilengkapi skrin 6.1″ LCD Liquid Retina Display dan dijana oleh cip terkini Apple A13 Bionic yang menurut Apple adalah cip pemproses paling berkuasa pernah digunakan pada sebuah telefon pintar. Skrin hanya menyokong timbal balas haptik tanpa sokongan 3D Touch.

Kamera utama yang kami katakan tadi menggabungkan sensor 12+12 Megapixel f/1.8+f/2.4 dan kamera hadapan juga dipertingkatkan ke 12-Megapixel f/2.2. Mod malam diperkenalkan pada kamera utama sekali lagi meminjam fungsi yang sebelum ini hanya disokong pada peranti Android. Tidak terhenti di situ, kamera hadapan ini memperkenalkan menyokong rakaman 4K 60FPS dan mod Slofies, mengambil swavideo gerak perlahan,

Penambahbaikan pada sistem Face ID membolehkan ia dinyahkunci 30% lebih pantas serta ketika diletakkan rata pada permukaan meja tanpa perlu diangkat seperti model-model terdahulu. Kemampuan audio dipertingkatkan dengan sokongan audio spatial buat pertama kali menggunakan cip baharu U1. Selain audio spatial, cip ini juga membolehkan fungsi AirDrop mengikut arah peranti diacungkan dilakukan,

Kapasiti bateri seperti biasa tidak dikongsi tetapi Apple menjanjikan hayat penggunaan lebih lama berbanding iPhone XR. Enam warna ditawarkan kali ini iaitu hitam, putih, merah, hijau, kuning, dan ungu. Di Malaysia, iPhone 11 akan ditawarkan pada harga RM3399 untuk 64GB, RM3599 untuk 128GB dan RM4099 untuk 256GB.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd