Cari @ Amanz

Pembesar suara nirwayar adalah satu aksesori audio yang boleh dikatakan wajib bagi mereka yang memiliki telefon pintar. Walau bagaimanapun, ianya hanya wajib bagi sesetengah individu sahaja. Misalnya, ia sesuai untuk mereka yang kerap menonton video tetapi tidak memegang peranti dengan sendiri – sebaliknya menggunakan pemegang atau sejenis cagak.

Terdapat banyak pembesar suara nirwayar di luar sana, tetapi yang mana satukah yang paling berbaloi? Dalam artikel ulasan ini, akan saya ulaskan pembesar suara nirwayar dari Tronsmart – Element T6 Plus. Ia adalah sebuah pembesar suara nirwayar tahan lasak yang agak hebat dan juga agak ‘pintar’.


Spesifikasi

Tronsmart Element T6 Plus
Warna Merah + Hitam
Teknologi Audio SoundPulse
Bahan Binaan ABS + Aluminium
Bluetooth 5.0 + A2DP, ACRCP, HFP
Output 40W (2 x 20W)
Fungsi unik Panggilan telefon, pembaca kad memori
Power bank
Pembaca pemacu ibu jari
Tahan lasak
Jarak Transmisi Sehingga 20m/66 kaki (kawasan terbuka)
Perllindungan Air IPX6
Pengecasan DC 5V/3A, melalui USB-C – 3-5 jam untuk penuh
Kapasiti Bateri 6600mAh (3300mAh x 2)
Masa Penggunaan Sehingga 15 jam
Berat 670 ± 5 g
Harga Jualan RM339

Tronsmart Element T6 Plus menggunakan pemacu audio 40W denga gabungan dwi-pasif radiator yang mempunyai kemampuan bass yang dalam. Ia juga mempunyai roda kawalan suara yang turut berfungsi sebagai butang mengakses pembantu maya. Disebabkan ada sokongan pembantu maya, mikrofon juga terbina pada pembesar suara ini. Untuk pengoptimasian audio pula, ia mempunyai kesan bunyi tri-bass dan beberapa profil equalizer terbina. Teknologi audio ini adalah dari Tronsmart sendiri, ia diberi nama Sound Pulse.

Rekaan

Tronsmart Element T6 Plus ini dibina sebagai sebuah pembesar suara nirwayar tahan lasak. Lihat sahaja pada keseluruhan spesifikasi, bateri bertahan berbelas jam dan masa standbynya mencapai 24 bulan jika pembesar suara ini tidak digunakan. Pada bahagian atas, terdapat lingkaran getah yang tebal dan di dalamnya terdapat pemantul bass dan roda kawalan suara yang turut boleh berfungsi sebagai butang mengakses pembantu maya. Roda ini juga turut boleh digunakan untuk menjawab panggilan telefon, menjeda muzik atau juga mematikan panggilan telefon.

Dari lingkaran getah yang tebal dari, ia diteruskan kepada sebahagian di panel belakang dan bersambung kepada bahagian bawah dengan satu lingkaran lagi yang lebih kurang sama. Bahan getah yang tebal ini boleh lindungi pembesar suara ini daripada terjatuh atau terhentak. Bahagian getah di belakang ini ia lebih tebal dari lingkaran getah atas dan bawah.

Padanya terdapat butang-butang kawalan seperti melangkau lagu, kembali ke lagu sebelumnya, butang TWS (untuk digunakan dengan dua pembesar suara yang sama), butang equalizer, butang M untuk mod sumber audio (bluetooth, kad mikroSD, USB-A), butang kuasa, lampu LED (indikasi equalizer) dan kelepak yang melindungi port-port USB-C, USB-A, mikroSD dan port bicu audio3.5mm.

Kualiti Audio

Pembesar suara Tronsmart Element T6 Plus ini mempunyai kualiti audio yang agak menarik. Main sahaja muzik tanpa sebarang tetapan atau perubahan mod, ia akan memberikan satu pengalaman yang memuaskan. Setiap clarity, treble, bass dan vocal adalah cukup stabil dan aras pada setiap satu boleh dikatakan berada pada tempat yang sepatutnya. Bass cukup dalam, dentuman setiap muzik yang dimainkan memberikan pengalaman yang mengasyikkan. Begitu juga apabila bermain video, ia akan memberikan pengguna peringatan – tidak menyesal memiliki pembesar suara ini.

Untuk pembesar suara dalam kelasnya, ia mempunyai kualiti yang baik secara keseluruhan. Tetapi, jika pengguna inginkan pengalaman yang lebih baik – tekan sahaja butang equalizer dan nikmati mod yang berbeza. Contohnya mod yang memfokuskan bass sepenuhnya, vokal sahaja dan lain-lain. Sepanjang penggunaan saya, saya lebih menggunakan tambatan secara Bluetooth. Sedikit kecewa yang sambunagn Bluetooth pembesar suara ini tiada sokongan profil audio seperti LDAC, Qualcmm aptX HD atau juga AAC. Ia hanya mempunyai sokongan profil Bluetooth yang biasa, tetapi mengekalkan kualiti audio yang baik.

Penggunaan pemacu ibu jari atau kad microSD amat membantu. Lebih-lebih lagi apabila saya mendengar semula rakaman audio sendiri yang membaca skrip ulasan. Vokalnya jelas dan teliti, jadi mudah untuk saya dengari di mana silap saya dalam penulisan skrip. Untuk muzik, saya tiada fail yang sah – jadi tidak saya uji.

Untuk pembantu maya sebaik sahaja ia diseru – baik Siri atau Google Assistant, suara kedua-dua pembantu maya ini adalah amat teruk. Ia seakan menggunakan pembesar suara RM10. Tidak pasti kenapa kualiti audio pembantu maya tidak bagus dan agak menyakitkan hati apabila mendengarnya. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja arahan memainkan muzik diberi – muzik dimainkan dengan baik.

Untuk kualiti audio apabila memainkan video, saya menguji dengan tambatkannya pada Xiaomi Mi Box S. Mengagumkan, yang langsung tiada sela masa antara televisyen (menstrim Netflix dengan Internet 6Mbps) dengan pembesar suara ini. Jadi, terbukti di sini yang pembesar suara ini cukup baik – tidak kira untuk muzik atau video.

Ketahanan Bateri

Boleh dikatakan benar, yang masa standby Tronsmart Element T6 Plus mampu mencapai sehingga 24 bulan. Ini kerana, sudah sekitar 3 bulan saya gunakan pembesar suara ini dengan tanpa pernah ia dicas walaupun sekali. Disebabkan saya kerap bertukar-tukar antara satu pembesar suara ke pembesar suara lain dan saya juga kerap menggunakan set fon telinga – jadi saya tidak akan gunakan pembesar suara selama 24 jam. Jadi, pembesar suara ini memang mempunyai ketahanan bateri yang hebat.

Tronsmart Element T6 Plus juga boleh berfungsi sebagai power bank. Menggunakan port USB-A, gunakan kabel USB-A ke microUSB, USB-C atau lightning untuk mengecas peranti pintar. Tetapi ia tiada piawaian pengecasan pantas, hanya akan mengecas peranti dengan perlahan. Menjadikan pembesar suara ini sebagai power bank juga akan mengurangkan hayar bateri, mengikut cara penggunaan.

Ketahanan?

Disebabkan ini adalah pembesar suara tahan lasak, ujian paling munasabah untuk diuji adalah hentak dan jatuh. Ya, ia kalis air – tetapi siapa sahaja mendengar muzik dalam kolam? Mungkin untik kalis air lebih sesuai ketika berkhemah di luar yang berdekatan dengan tasik, atau mereka yang gemar mengadakan konsert dalam tandas.

Oleh kerana saya bukan jenis yang melakukan aktiviti luar atau berangan dalam tandas – saya telah menghentak pembesar suara ini, membalingnya dan turut menjatuhkannya. Tiada masalah langsung berlaku, kondisi masih baik seakan baru, muzik amsih dimainkan dan tiada kecacatan berlaku. Terbukti juga yang Tronsmart Element T6 Plus sesuai digunakan tidak kira di mana jua.

Kesimpulan

Tiada banyak komen negatif untuk pembesar suara ini, kecuali pada bahagian pembantu maya. Lain-lain pada saya untuk sebuah pembesar suara tahan lasak, ia sudah memadai dan mencukupi. Bateri tahan lama, audio baik-baik sahaja, rekaan juga baik. Agak berat, tetapi mempunyai power bank, jadi ia boleh dimaafkan.

Untuk rekaan lain, ia turut hadir dengan warna hitam sahaja. Untuk harga, ia mungkin akan tidak disetujui oleh orang ramai. Harga jualan rasmi adalah RM339. Pembesar suara ini bukanlah untuk semua, ia ada niche yang tersendiri. Jika anda seseorang yang gemar akan aktiviti tahan lasak dan ingin mendengar muzik sambil mengecas peranti – Tronsmart Element T6 Plus adalah untuk anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd