Huawei telah sedia menawarkan komputer riba dijana sistem operasi Windows 10 sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Terkini, dengan perang perdagangan antara pihak China dan Amerika Syarikat, Huawei telah mula melihat kepada beberapa alternatif lain.
Terbaru, di China, Huawei telah mula menawarkan komputer riba dengan sistem operasi Linux. Secara spesifiknya, mereka menggunakan sistem operasi Deepin Linux yang turut dibangunkan berpusat di China.
Buat masa ini, beberapa model ditawarkan dengan pilihan Linux, termasuk antaranya adalah Huawei MateBook 13, MateBook 14 dan juga MateBook X Pro.
Selain itu, Huawei juga sebelum ini telah membangunkan sistem operasi mereka tersendiri dinamakan HarmonyOS – yang mana dikatakan akan menyokong pelbagai variasi peranti, termasuk komputer riba.
Ia tidak diketahui lagi sama ada Huawei akan menawarkan variasi komputer riba berasaskan Linux di luar China ataupun sebaliknya.