Carian
Vivo NEX 3 Dilancarkan – Skrin Nirbingkai Penuh, Snapdragon 855+, Kamera 64MP
September 16, 2019 Fahim Zahar

Siri NEX daripada Vivo bermula sebagai sebuah peranti konsep. Ia hadir dengan skrin nirbingkai dan antara yang pertama menggunakan kamera swafoto pop-naik. Selepas ia menjadi realiti dan dijual di pasaran, Vivo sedar akan kebolehan mereka untuk menjadi pengeluar yang hadir dengan ‘inovasi’ sebenar.

Hari ini, Vivo NEX 3 telah dilancarkan secara rasmi. Ia adalah peranti dalam siri NEX generasi ketiga. NEX 3 ini hadir dengan skrin pOLED Waterfall FullView 6.89-inci FHD+, HDR10, kecerahan sehingga 800 nits, rekaan nirbingkai penuh, dwi-lengkung dan nisbah skrin-ke-badan adalah 99.6%. Cip pemprosesan yang menjana peranti ini adalah Snapdragon 855+ dengan pilihan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB berasaskan UFS3.0. Peranti ini juga turut hadir dengan sistem penyejukan cecair dengan teknologi C-DRX.

Vivo Nex 3

Vivo Nex 3

Peranti ini tidak menggunakan sebarang butang fizikal seakan HTC U12+. Tetapi ia menggunakan butang dengan sensor tekanan. Kamera belakang menggunakan modul berbentuk bulat seakan Motorola siri Z. Lensa adalah gabungan 64MP + 13MP sudut ultra-lebar + 13MP teleskopik. Manakala bagi kamera swafoto pula adalah 16MP melalui sistem kamera pop-naik.

Bateri NEX 3 adalah 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas Vivo Super FlashCharge 44W melalui USB-C. Pembesar suara adalah mono dengan teknologi HiFi. Ia menggunakan cip AK4377A. Tetapi usah risau port bicu audio 3.5mm dikekalkan jika anda tidak gemari pembesar suara mono.

Vivo NEX 3 turut hadir dengan variasi 5G, tetapi terhad kepada pasaran China sahaja buat masa ini. Ketika artikel ini ditulis, ia tidak diketahui lagi bilakah peranti ini akan memasuki pasaran tempatan. Vivo Nex 3 ditawarkan pada harga bermula RMB4999 di China, iaitu sekitar RM2954 mengikut kadar tukaran wang semasa di Malaysia.

Vivo Nex 3

Komen