Pandang Pertama: Vivo TWS Earphone – Apple AirPods Versi Vivo

Pandang Pertama: Vivo TWS Earphone – Apple AirPods Versi Vivo

Diterbitkan pada Sep 17, 2019 oleh .

TWS atau nama lainnya True Wireless Stereo, adalah sistem untuk set fon telinga nirwayar sebenar. Jenama yang terawal hadir dengan set fon telinga TWS adalah Apple dengan AirPods. Sejak daripada itu, makin banyak pengeluar dari China hadir dengan produk yang serupa. Huawei sudah ada, Xiaomi juga sudah, kini giliran Vivo pula.

Hari ini di acara pelancaran Vivo NEX 3, Vivo turut melancarkan Vivo TWS Earphone. Ia adalah set fon telinga sebenar yang sangat mirip dengan Apple AirPods. Persoalannya, adakah ini satu klon atau mempunyai kelebihan tersendiri? Ini adalah artikel pandang pertama.


Spesifikasi

Vivo TWS Earphone ini dijana dengan cip audio Qualcomm QCC5126. Ia menyokong aptX HD, sela masa yang rendah dan 30% lebih jimat kuasa. Seperti kebanyakan set fon telinga nirwayar sebenar yang premium, sokongan kawalan gestur adalah wajib – jadi Vivo turut meletakkan sokongan itu pada aksesori audio ini.

Set fon telinga nirwayar sebenar Vivo ini turut menyokong seruan pembantu maya sentiasa aktif. Selain itu, teknologi Bluetooth yang digunakan adalah berasaskan Bluetooth 5.0 dan mempunyai sokongan ‘Fast Pair‘. Bateri pod pengecasan adalah 400mAh, fon telinga pula adalah 25mAh dan mampu bertahan selama 24 Jam.

Rekaan

Tidak dinafikan yang rekaannya adalah mirip dengan Apple AirPods. Tetapi rekaan yang Vivo gunakan mempunyai bucu yang lebih membulat pada pod pengecasannya. Pada bahagian hadapan pod pengecasan ini terdapat logo Vivo dan lampu LED untuk indikasi tambatan dan bateri. Di bahagian belakang pula adalah butang tetapan semula tambatan dan engsel bagi penutup. Pada bahagian atas terdapat penutup dengan kualiti dan pengalaman buka/tutup seakan Apple AirPods. Pada bahagian bawah pula, terdapat port USB-C untuk tujuan pengecasan.

Beralih pula kepada fon telinga itu sendiri. Saiznya amat kecil, tangkainya sama sahaja dengan Apple AirPods, tetapi pada bahagian pemacu audio – ia mempunyai rekaan yang lebih kemas dan lebih ketat di dalam telinga. Kekisi audio juga turut kelihatan dan sekilas pandang ia tetap mirip dengan produk Apple. Di bawahnya adalah sambungan magnetik untuk tujuan pengecasan melalui pod pengecasan.

Bahan binaan adalah plastik dengan kemasan yang sangat berkilat. Ia mudah memerangkap kotoran cap jari dan tidak hairan jika ianya mudah calar. Secara keseluruhan, rekaan dan saiznya adalah dalam kelas premium dan sungguh memudahkan pengguna untuk bawa ke mana sahaja.

Pengalaman Penggunaan

Di acara pelancaran tadi, kami dapat mencubanya sebentar. Tambatan pada peranti NEX 3 adalah sangat pantas. Ia setaraf dengan Apple AirPods jika dipadankan dengan iPhone XS misal kata. Buka sahaja penutup, akan terpapar aksesori audio yang ingin ditambat dan sejurus selepas ditambat – peranti akan memaparkan status bateri bagi setiap fon telinga dan pod pengecasan.

Duka cita dimaklumkan yang ‘Fast Pair’ seakan penggunaan cip Apple W1 ini hanya disokong oleh peranti Vivo sahaja. Bagi peranti Android lain, ia perlu disambungkan melalui tetapan Bluetooth. Walau bagaimanapun, kepantasannya adalah dahsyat dan mengagumkan. Di dalam tetapan Bluetooth, selepas ia ditambat – jika pod pengecasan dibuka dan ditutup, ia juga mudah untuk ditambat dan tidak.

Sebelum kita bergerak ke kualiti audio, akan saya beritahu ciri menarik lain pada Vivo TWS Earphone ini. Pertama, ia mempunyai sokongan gestur yang sangat ringkas;

i) jeda/main muzik dan seru pembantu maya dengan tekan dua kali (mengelirukan dan hanya kadang-kadang sahaja berfugsi),

ii) matikan panggilan telefon dengan tekan beberapa saat dan

iii) gesek ke atas atau ke bawah untuk melaraskan aras suara.

Kualiti audio, disebabkan ia menggunakan cip Qualcomm QCC5126 – pengalaman pendengaran yang lebih mengasyikkan hanya disokong oleh peranti yang dijana dengan cip Snapdragon. Ini adalah kerana sokongan aptX HD sebenar hanya disokong oleh cip Qualcomm Snapdragon. Akan tetapi mungkin itu tidak penting pun, ini kerana kualiti audio adalah mirip dengan Apple AirPods versi klon.

Secara keseluruhan, ia mempunyai kualiti audio yang mengecewakan. Bass yang sangat flat dan tidak enak didengar, dentuman yang tidak mengasyikkan dan mendengar muzik adalah kurang memuaskan. Perkara baik pada Vivo TWS Earphone ini hanyalah fungsi ‘Fast Pair’, rekaan yang kelihatan premium, USB-C dan saiz yang kecil. Kemudian, kawalan gestur juga tidak banyak yang boleh dilakukan. Contohnya, tiada sokongan kawalan gestur untuk melangkau muzik atau kembali.

Kesimpulan

Fungsi tambatan yang sangat pantas adalah satu perkara yang baik. Rekaan premium dan saiz kecil juga sudah bagus, tetapi kualiti audio yang ibarat menggunakan set fon telinga murah adalah satu perkara yang tidak enak. Vivo di sini jelas sekali ingin menjadi Apple dengan bergantung kepada pembantu maya ‘Jovi’ untuk tujuan kawalan tambahan. Harganya mencapai sekitar RM590 adalah harga yang sangat mahal.

Ia mungkin mahal kerana cip yang digunakan. Tetapi untuk siapakah set fon telinga nirwayar sebenar ini? Jika ia tiba ke pasaran Malaysia, sanggupkah anda menghabiskan wang mencapai hampir RM600? Pada kami, banyak sahaja pilihan lain yang lebih bagus. Malah ada juga Apple AirPods klon berharga sekitar RM300 yang mempunyai prestasi yang lebih mengasyikkan.


TIPS & ULASAN