Cari @ Amanz

Peranti Oppo dalam siri ‘A‘ adalah peranti kelas pertengahan. Terdapat pelbagai peranti dalam siri ini dan masing-masing hadir dengan kelebihan tersendiri. Fokus Oppo dilihat lebih kepada Oppo A9 yang sebelum ini dilancarkan pada bulan April lalu. Kini, Oppo hadir dengan kemaskini buat peranti ini.

Oppo hari ini telah melancarkan dua peranti baharu dalam siri A, iaitu Oppo A9 2020 dan Oppo A5 2020. Kedua-dua peranti ini menggunakan skrin 6.5-inci HD+ LCD, dengan skrin bertakuk kecil. Kedua-dua peranti ini juga dijana dengan cip pemprosesan yang sama, iaitu Snapdragon 665.

Selain itu, penggunaan kamera juga adalah sama iaitu sistem kuad-kamera. Oppo A9 2020 menggunakan lensa utama 48MP, lensa ultra sudut lebar 8MP, 2MP lensa monokrom dan 2MP lensa untuk rakaman bokeh. Oppo A5 2020 juga lebih kurang sama, cuma lensa utamanya adalah 12MP. Bagi kamera swafoto pula, A9 2020 adalah 16MP dan 8MP buat A5 2020.

Oppo A9 2020 dan Oppo A5 2020 kedua-duanya mempunyai bateri berkapasiti 5000mAh dengan sokongan pengecasan berbalik untuk dijadikan sebagai power bank. Pembesar suara pula adalah jenis stereo dengan pengiktirafan ‘Hi-Res Audio‘ dan pengoptimasian Dolby Atmos. Sistem operasi pula adalah ColorOS 6 berasaskan Android 9.0 Pie.

Perkara lain yang membezakan dua peranti ini adalah memori. A9 2020 menggunakan memori 8/128 GB, manakala A5 2020 adalah 3/64 GB. Kedua-duanya juga menyokong slot kad microSD. Untuk perlindungan, Corning Gorilla Glass 3+ digunakan.

Rekaan Oppo A9 2020 dan A5 2020 adalah sama. Membezakannya adalah warna, iaitu Space Purple dan Marine Green untuk A9 2020 dan Mirror Black dan Dazzling White untuk A5 2020. Harga jualan adalah RM1199 untuk A9 2020 dan RM699 untuk A5 2020. Ia akan mula dijual pada 28 September.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd